Secebis rezeki disebalik PRN
LENDU 20 Nov. – Hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menjadi lubuk rezeki buat peniaga bagi apabila meraih pendapatan tidak putus-putus sepanjang proses itu berlangsung.
Tinjauan Melaka Hari Ini mendapati, rezeki sehari itu merupakan waktu emas penduduk di Kampung Lendu bagi meraih pendapatan dengan berniaga menjual makanan dan minuman.
Seorang peniaga, Zaipul Aman Abu Hussein mengambil peluang tersebut berniaga di tepi jalan berhadapan pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Lendu sejak pagi tadi
Dia yang sebelum ini bekerja sendiri mengambil keputusan untuk berhenti sejak setahun lalu akibat terkesan dari wabak pandemik COVID-19.
Katanya yang kini menjalankan penanaman tebu bersama keluarganya mengambil peluang itu dengan menjual air tebu hasil tanaman sendiri.
“Mula mula tak terfikir pun nak berniaga, ia secara langsung apabila semalam rasa nak cuba jual air tebu sebab lihat ini peluang terbaik untuk dapatkan rezeki dan mula menjejak lokasi yang sesuai semalam sebelum saya berniaga pagi tadi.
“Alhamdulillah sejak pagi hingga tengahari tadi dalam 30 gelas air tebu berjaya dijual kepada pengundi yang datang membuang undi mereka di sini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Sementara itu, lain pula ragam seorang peniaga Noraini Raffil Ahmat, 49 yang mengambil peluang menjual nasi impit bersama air namun ada pelanggan menyangka ada agihan makanan percuma di gerainya itu.
Bagaimanapun dia yang mencuba nasib biarpun dia bekerja sebagai penjual santan di kampung itu mengikhlaskan hatinya dengan menyedekahkan kepada sesiapa yang menyangka perkara itu.
“Niat berniaga hanya untuk mencuba malah atas galakan rakan-rakan dan keluarga saya ambil keputusan untuk berniaga dengan harga yang murah.
“Tapi ada juga yang datang menyangka ini makanan percuma apa pun saya sedekah kan sahaja lah.
“Alhamdulillah sambutan hari ini menggalakkan dan ramai yang datang membeli di gerai saya,” katanya
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.