‘Selesai mengundi kurang 10 minit’
AYER KEROH 20 Nov – Situasi Pusat Pengundian di Sekolah Kebangsaan (SK) Syed Ahmad Shahabudin, Taman Tasek Utama, Ayer Keroh, terlihat sepi dan kurang kunjungan pengundi dalam kalangan anak muda.
Menerusi tinjauan dan pengalaman penulis sendiri yang tiba ke pusat mengundi itu pada 2.15 petang tadi mendapati perjalanan proses membuang undi berlaku sangat cepat dan mudah.
Proses terbabit yang memakan masa kurang dari sepuluh minit itu berjalan lancar meskipun prosedur operasi standard (SOP) yang sangat ketat dengan kawalan pihak polis dan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Menerusi pemerhatian penulis, di setiap ‘check-point’ saluran undi terdapat petugas SPR yang akan membantu tunjuk arah ke saluran masing-masing.
Antara langkah yang perlu dilalui oleh pengundi, pertamanya, mereka perlu menyemak saluran undi di meja semakan saluran undi, sebelum diarah ke saluran yang disediakan mengikut umur.
Seterusnya, di saluran membuang undi, petugas akan menyemak kad pengenalan, kedua-dua belah tangan dan jari pengundi sebelum dibenarkan untuk mencelup jari ke dakwat khas.
Proses terakhir ialah kertas undi diberi dan sebelum pengundi memangkah calon pilihan masing-masing dan meletakkan kertas undi ke dalam kotak yang disediakan.
Secara keseluruhan proses berjalan lancar dan sangat mudah meskipun dalam kekangan pandemik COVID-19.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.