Tidak tahu diserang angin ahmar, lelaki tunggang motosikal 8km

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

DURIAN TUNGGAL 17 Nov – Seorang pemandu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bukit Baru menunggang motosikal sejauh lapan kilometer dalam keadaan kesakitan akibat diserang angin ahmar sewaktu dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Seri Bayan Gangsa di sini.

Azhar Ramli, 44, berkata ketika kejadian dia mula merasa lenguh dan sakit sengal pada sebelah kanan badannya sewaktu menghantar kenderaan syarikat untuk dibaiki dekat Cheng kira-kira pukul 10 pagi.

Menurutnya, dia kemudian meminta bantuan rakan untuk menghantarnya pulang ke pejabat di Bukit Baru sebelum pulang ke rumah bersendirian menaiki motosikal miliknya.

“Ketika itu, saya merasakan kaki dan lutut kanan sudah tidak boleh bergerak tetapi saya gagahkan diri balik ke rumah untuk berehat dan tidak mengesyaki apa-apa kerana saya tidak menghidap sebarang penyakit sebelum ini.

“Namun selepas tidur beberapa jam, saya tidak mampu mengerakkan badan untuk bangun dan memerlukan bantuan isteri Norasyikin Hanafiah, 47, mendapatkan bantuan ambulan untuk ke Hospital Melaka (HM),” katanya.

Lebih malang buat Azhar, Norasyikin juga mengadu tidak sihat kerana kaki kanannya bengkak akibat penyakit kencing manis sebelum kedua-duanya terpaksa dikejarkan ke HM bagi mendapatkan rawatan lanjut dan meninggalkan tiga anak mereka yang berusia 10 hingga 18 tahun di rumah.

Bagaimanapun, kata Azhar, selepas seminggu mendapatkan rawatan di hospital, dia dibenarkan pulang ke rumah namun isterinya terpaksa ditahan di Unit Kecemasan HM memandangkan bacaan tahap gula tidak stabil.

“Kini sudah hampir dua minggu, isteri masih dirawat di HM dan saya terpaksa berulang-alik melawat isteri manakala anak lelaki sulung yang mengambil tanggungjawab saya dan isteri menjaga dua adiknya di rumah.

“Saya kasihankan anak saya itu kerana tidak lama dia bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya bimbang tumpuan pada pelajaran akan terganggu,” katanya.

Keperitan hidup yang dialami Azhar sekeluarga turut mendapat perhatian calon Barisan Nasional (BN), Zahari Abd Kalil yang meluangkan masa melawat keluarga itu serta bertanyakan khabar serta keperluan Azhar sekeluarga.

“Selain menghulur bantuan keperluan dapur, Azhar juga meminta bantuan katil khas untuk keperluan isterinya di rumah dan kita sedang berusaha mendapatkan barang keperluan daripada agensi kerajaan terlibat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

612
Kongsi :
Previous post Keluarga Malaysia inspirasi Telok Mas – Razak
Next post Agong, Permaisuri zahir ucapan takziah kepada keluarga bekas ADUN Asahan
Ubah saiz-+=