
Sedar diri Azmin, Bersatu tidak lagi relevan – Ginie
MACHAP JAYA 17 Nov – “Adalah lebih baik Azmin (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) menyedari partinya, Bersatu tidak lagi relevan untuk masa depan tanah air kita,” demikian tegas Datuk Ginie Lim Siew Lin.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya itu berkata demikian selepas Azmin mendakwa namanya digugurkan sebagai calon Pakatan Harapan (PH) kerana memberi sokongan kepada Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu.
Sebaliknya, Ginie menegaskan kesetiaannya kekal pada prinsip perjuangan parti, bukannya individu dan menyifatkan PN sudah kehabisan modal politik.
“Walaupun saya tidak bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini, saya tetap komited dengan agenda perjuangan PH, serta akan menyumbangkan tenaga dan idea dalam politik tanah air,” katanya dalam satu hantaran di Facebook rasminya.
Dalam hantaran sama, Ginie turut menyindir Azmin yang didakwa terlibat dalam ‘Langkah Sheraton’ untuk bersekongkol dengan kuasa kleptokrat dan perasuah.
“Saya menolak dengan tegasnya tindakan ‘Langkah Sheraton’ kerana bersekongkol dengan kuasa kleptokrat dan perasuah yang telahpun ditolak oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum lalu.
“Meskipun Azmin pernah menjadi Timbalan Presiden PKR, namun amat menyedihkan bagi seorang yang kononnya memperjuangkan politik pelbagai kaum dan melawan rasuah lebih 20 tahun tetapi akhirnya terpaksa tunduk kepada acuan parti perkauman dan perasuah,” katanya lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.