BN akan kembalikan daerah kecil Sungai Rambai
Sungai Rambai 17 Nov – Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada Sabtu akan menjadi ‘nyawa’ pembangunan semula daerah kecil Sungai Rambai.
Pengarah Jentera Pilihan Raya BN Parlimen Jasin, Datuk Hasan Abd Rahman berkata, sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) beberapa perancangan sudah dilakukan untuk membangun dan mengoperasikan semula Daerah Kecil Sungai Rambai.
Katanya, bagaimanapun hasrat itu terpaksa dilupakan berikutan kemelut politik yang berlaku.
“Saya sedih apabila pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kita hilang kuasa dan lebih 30 jabatan, agensi kerajaan termasuk pejabat korporat di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Sungai Rambai ditutup malah Aerodrome Sungai Rambai juga yang sebelum ini dikenali sebagai ‘LIMA junior’ dijadikan kandang lembu.
“Rakyat mahu melihat apa yang ada sebelum ini. Daerah yang hilang kita cari semula, kembalikan semula.
“Jadi kalau rakyat mahu melihat kecemerlangan, kegemilangan yang kita cipta bersama semasa saya menjadi wakil rakyat selama tiga penggal berulang kembali, maka tiada ada pilihan melainkan memasti kemenangan BN pada Sabtu ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di RTC Sungai Rambai, hari ini.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai itu berkata, sekiranya DUN tidak dibubarkan Sungai Rambai Daerah Kecil kembali beroperasi sekali gus memudahkan urusan penduduk setempat.
“Kita sudah siap susun, pejabat pentadbiran yang dulu akan beroperasi semula tetapi terpaksa dihentikan malah sebelum pembubaran DUN Jawatankuasa Penswastaan Negeri yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali dan Seketariatnya UPEN telah pun meluluskan cadangan pelaburan swasta di Sungai Rambai bernilai RM300 juta.
“Ketika beroperasi kita peroleh pendapatan RM9.5 juta setahun hasil daripada pungutan hasil yang dibuat oleh angensi dan jabatan di situ selain unjuran pendapatan bersih tidak kurang RM5 juta. Ini memberi pulangan hasil bukan sahaja kepada kerajaan Persekutuan malah, kerajaan negeri termasuk penduduk setempat,” katanya.
Mengulas lanjut Ahli Jawatankuasa BN itu berkata, hanya kemenangan BN menjadi penentu kepada kelangsungan segala projek pembangunan yang sudah dirancang di kawasan itu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.