Ramai kesal ‘Abah’ batalkan HSR KL-S’pura
Oleh: Liana Sahabudin, Fiqa Jamal & Siti Salehah
AYER KEROH 16 Nov – Banyak pihak menzahirkan rasa kecewa di atas pembatalan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur ke Singapura yang dibuat oleh kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.
Antara yang meluahkan rasa kesal ialah Persatuan Penjaja, Peniaga dan Pengusaha Kecil Melayu Negeri Melaka yang menganggap pembatalan tersebut sebagai merugikan.
Menurut Yang Dipertuanya Datuk Zaleha Bujang, projek HSR disifatkan penting kerana ia bakal membawa limpahan ekonomi kepada rakyat dan sektor pelancongan negeri ini, sekali gus memberi tempias kepada peniaga.
“Pada saya memang tak sepatutnya dibatalkan projek HSR sehingga ke Singapura, limpahan ekonomi ini memang patut diperluaskan…maksudnya (bila dibatalkan) kita sudah sekat ekonomi dari segi pelancongan.
“Sedangkan kita memang mengharapkan pelancong-pelancong daripada luar negara seperti Cina, malah Singapura ini juga seperti luar negara yang akan mendatangkan impak ekonomi.
“Jika projek HSR ini hanya sampai ke Johor Bahru sudah tentu menjadi kerugian juga untuk Negeri Melaka sebab negeri kita sebagai ‘bypass’ sahaja kepada pengunjung,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Justeru, beliau menyambut baik usaha Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali yang mahu memperjuangkan projek HSR KL-S’pura itu diteruskan semula sekiranya diberi mandat untuk mentadbir negeri ini.
Dalam pada itu, nada sama turut disuarakan oleh Pengerusi Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MyBHA) Melaka, Sazali Sabri yang meluahkan rasa terkilan apabila Melaka bakal hilang satu manfaat besar dari sudut ekonomi.
Sebagai pemain industri pelancongan, beliau melihat, sekiranya projek tersebut dapat diteruskan ke Singapura, Melaka akan mendapat banyak manfaat selain meningkatkan nilai hartanah di bumi bertuah ini.
“Kesal, amat kesal, sepatutnya kita dapat limpahan manfaat apabila projek itu diteruskan ke Singapura, namun apabila dibatalkan, kita hilang satu nikmat untuk menarik pelancong dari Singapura ke Melaka.
“Saya yakin, pembinaan HSR ini sendiri akan menjimatkan banyak masa, jadi pelancong dari Singapura hendak melancong ke Melaka tidak perlu bersesak dalam kesesakan lalu lintas untuk melancong ke Melaka.
“Selain itu, antara manfaat lain, ramai yang menetap di Melaka mampu berulang alik ke ibu kota (Kuala Lumpur) dengan jimatnya selain nilai hartanah di Melaka akan melonjak tinggi,” ujarnya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pelancongan Melaka (MTA), Madelina Kuah pula menyifatkan projek HSR dapat menambah kemasukan pelancong khususnya yang berkeluarga dari Singapura.
Memandangkan ia telah dibatalkan, katanya, sedikit sebanyak akan turut memberi kesan kepada pemain industri pelancongan pada masa akan datang.
“Jika ada HSR sudah pasti ia akan memudahkan pelancong dari Singapura masuk terus ke Melaka dan (bila dibatalkan) kita sudah tidak dapat ‘volume’ yang sepatutnya kita terima khususnya membabitkan pelancong yang datang secara berkumpulan,” katanya.
Sebelum ini, Malaysia dan Singapura memutuskan pembatalan projek HSR selepas tempoh penangguhan projek itu berakhir hujung Disember tahun lalu.
Laluan kereta api sejauh 350 kilometer yang pada mulanya telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak pada 2013 itu akan bergerak dari stesen terminal pusat bandar Kuala Lumpur ke terminal di Jurong East, Singapura, selain turut melibatkan hentian di Melaka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.