Sidang media tidak perlu permit – Ketua Polis Melaka
AYER KEROH 12 Nov – Semua sidang media yang dianjurkan parti calon bertanding dibenarkan dan tidak memerlukan permit, kata Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali.
Beliau berkata, sidang media yang dijalankan itu bagaimanapun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan termasuk mengamalkan penjarakan sosial.
“Tidak ada masalah untuk mengadakan sidang media namun ia perlu ikut SOP seperti penjarakan sosial dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI) di sini, hari ini.
Terdahulu, kekeliruan berlaku antara pengamal media ketika Datuk Seri Najib Tun Razak menyantuni penduduk Kampung Balik Batu apabila petugas penguatkuasaan melarang sebarang sidang media berbentuk spontan atau terjah dilakukan oleh pengamal media.
Bagaimanapun, berdasarkan SOP dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), temu bual secara spontan atau terjah atau di luar masa ditetapkan tidak dibenarkan ketika hari mengundi awal dan hari membuang undi yang ditetapkan pada 16 dan 20 Nov.
Dalam pada itu, Abdul Majid berkata bagi aktiviti yang memerlukan permit adalah ceramah yang menggunakan pembesar suara daripada kenderaan bagi membolehkan parti bertanding mengadakan kempen.
Katanya, permohonan bagi mendapatkan permit itu perlu dipohon dalam tempoh 24 jam sebelum ceramah berkenaan diadakan.
“Permohonan boleh dikemukakan kepada Ketua Polis Daerah di lokasi ceramah itu diadakan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.