Sorting by

×

28 calon PN tandatangani aku janji anti rasuah

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

TANJUNG MINYAK 12 Nov- Seramai 28 calon Pilihan Raya Negeri (PRN) dari Perikatan Nasional (PN), hari ini menandatangani Aku Janji Anti Rasuah.

Majlis menandatangani aku janji itu diadakan di Bilik Gerakan PN Tanjung Minyak dan disaksikan sendiri oleh Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengerusi PN negeri, Datuk Wira Naizamohideen mengetuai bacaan ikrar aku janji terbabit.

Antara isi kandungan ‘Aku Janji Calon Pilihan Raya Negeri’ yang dikeluarkan PN adalah  calon terbabit perlu memastikan pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka dilaksanakan secara bersih, adil dan bebas rasuah sekiranya terpilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Selain itu, calon juga harus mematuhi sepenuhnya undang-undang diperuntukkan dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM 2009) dan undang-undang berkaitan berkaitan dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab.

“Saya akan menolak sebarang bentuk jenayah rasuah, penyelewengan dan
salah guna kuasa, serta memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam mencegah sebarang bentuk jenayah rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

“Saya tidak akan melibatkan diri dalam sebarang bentuk jenayah rasuah,
penyelewengan dan salah guna kuasa, sama ada secara langsung atau tidak
langsung,” demikian isi kandungan aku janji tersebut.

Kesemua calon selesai menandatangani aku janji terbabit kira-kira jam 9.40 malam, sebelum terus mengadakan taklimat tertutup.

Terdahulu, Muhyiddin dilaporkan berkata aku janji itu selari dengan pendirian yang didukung gabungan itu untuk menentang salah guna kuasa dan rasuah serta akan memberi layanan yang adil kepada semua pihak.

PN bertanding di kesemua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Melaka, 20 Nov ini dengan daripada jumlah berkenaan, Bersatu bertanding di 15 kerusi manakala PAS lapan, dan Gerakan lima.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

802
Kongsi :
Previous post Media sosial parti calon bertanding diperhati polis 24 jam
Next post Sidang media tidak perlu permit – Ketua Polis Melaka
Ubah saiz-+=