Sorting by

×

Rokok dan arak tidak bercukai dirampas hampir RM1 Juta

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

BANDA HILIR 12 Nov- Taktik kumpulan sindiket menjadikan sebuah rumah teres di Taman Sinn, Semabok sebagai stor penyimpanan dan pengedaran rokok tidak bercukai bagi mengaburi mata pihak berkuasa gagal apabila berjaya dikesan Pasukan Gerakan Am (PGA).

Komander Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Muhammad Abdul Halim berkata, menerusi Op Kontraban itu, pihaknya menemui 2,097 karton rokok dan 483 kotak arak dengan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM963,684.21 .

Katanya, operasi terbabit yang dijalankan pada 9.30 pagi itu dijalankan hasil risikan pasukannya selama sebulan dan pemantauan lokasi.

“Pada 10 Nov lalu, jam 9.30 pagi, dua pasukan dari Cawangan Risik Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah, Cheras dan Cawangan Risik Batalion 6 PGA telah membuat serbuan ke sebuah rumah di Taman Sinn, Semabok sebelum menahan seorang lelaki berusia 42 tahun di rumah terbabit.

“Hasil serbuan itu, sebanyak 393,000 batang rokok dan 11,446 botol dan tin arak tidak bercukai serta sebuah kereta dirampas.

“Antara modus operandi sindiket dipercayai kegiatan itu sudah lebih sebulan suspek bergiat aktif dan bekalan terbabit didakwa untuk dipasarkan kepada rakyat tempatan dan warga asing di rumah-rumah kongsi sekitar Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Op Kontraban di Balai Polis Banda Hilir, hari ini.

Hadir sama, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner, Azlan Abu dan Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Supritendan Rais Mukhliz Azman Aziz.

MUHAMMAD menunjukkan antara barang rampasan dalam Op Kontraban, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad berkata, siasatan lanjut mendapati bekalan yang dirampas dipercayai dibawa masuk melalui laluan air dan darat.

“Bekalan rokok tidak bercukai itu dipercayai dibawa masuk mengikut jalan darat dan perairan.

“Suspek yang ditahan kini direman bermula 11 Nov sehingga 14 Nov ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

603
Kongsi :
Previous post SOP ketat cabaran calon baharu dekati pengundi
Next post PN umum calon KM sebelum hari pengundian – Muhyiddin
Ubah saiz-+=