SOP ketat cabaran calon baharu dekati pengundi
MELAKA 12 Nov – Calon baharu daripada Barisan Nasional (BN) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad, mengakui prosedur operasi standard (SOP) merupakan cabaran besar baginya untuk mendekati pengundi.
Mohamad Ali berkata kekangan kempen bersemuka sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka juga menjadi kesukaran kepadanya bertemu pengundi, bagi memperkenalkan diri dan memberi penjelasan mengapa dia perlu dipilih pada hari pengundian nanti.
“Kita tidak boleh bertemu atau berziarah, cuma apabila waktu seperti bersarapan pagi atau membeli barang keperluan di pasar barulah kita dapat berjumpa seketika, itu sahaja yang kita boleh lakukan dalam tempoh beberapa hari sahaja lagi kempen.
“Dalam proses menentukan wakil rakyat, kita melihat perlu memberi peluang kepada calon bersemuka dengan pengundi, supaya kita jelaskan kepada mereka kenapa perlu pilih kita menjadil wakil,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mohamad Ali yang juga Timbalan Pengerusi BN negeri berkata walaupun penggunaan media sosial ketika ini meluas, namun kaedah tersebut masih mempunyai kekangan di sesetengah tempat yang mempunyai akses internet terhad dan dalam kalangan warga emas yang kurang menggunakan medium berkenaan.
“Memang ada media sosial, tetapi kita melihat sejauh mana pengundi menggunakannya untuk mengenali calon, memang kita boleh lakukan cara menghantar bahan kempen seperti risalah ke peti surat tetapi ada juga yang sudah lama tidak dibuka, atau jika diselitkan pada pokok, kayu-kayu, mungkin bila ditiup angin berterbanglah bahan kempen itu.
“Dalam tempoh berkempen yang berbaki beberapa hari lagi kita berharap Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), memberi sedikit kelonggaran untuk calon bertemu pengundi,” katanya.
Mohamad Ali, 57, walaupun menceburi arena politik lebih 36 tahun, ini merupakan kali pertama penampilannya sebagai calon dalam pilihan raya, selain berhasrat untuk memberi komitmen bagi menangani isu rakyat setempat dan menambah baik kemudahan serta infrastruktur demi kebaikan penduduk.
Kerusi DUN Sungai Udang bakal menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon BN itu dengan Dr Mohd Aleef Yusof mewakili Perikatan Nasional (PN), Hasmorni Tamby (Pakatan Harapan) dan Mejar Jeneral (B) Mohd Zahar Hasim (Bebas).
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, kerusi DUN Sungai Udang dimenangi Datuk Seri Idris Haron dari BN dengan majoriti 2,229 undi, menewaskan Mohd Lokman Abdul Gani (PKR).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 Nov manakala penamaan calon pada 8 Nov dan undi awal pada 16 Nov, ekoran pembubaran DUN pada 4 Okt lepas susulan empat ADUN menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.- BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.