Sorting by

×

Sg Udang: Cikgu Ali janji majukan perumahan anggota tentera

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

SUNGAI UDANG 12 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) Sungai Udang, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berjanji untuk memajukan infrastruktur anggota tentera di kawasan luar Kem Terendak dan Kem Sungai Udang, Tanjung Kling di sini.

Beliau berkata, penelitiannya dan jentera BN Sungai Udang mendapati infrastruktur di beberapa rumah pangsa berkenaan seperti sistem perparitan harus ditingkatkan.

“Bagaimanapun, ia hanya mampu dilakukan melalui kerjasama dengan Kementerian Pertahanan kerana penginapan berkenaan adalah milik kementerian itu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau menolak dakwaan pihak tertentu kononnya fokus berkenaan bertujuan untuk menarik undi anggota tentera di kedua-dua kem berkenaan.

“Anggota tentera berhak menggunakan kuasa mengundi yang ada pada mereka bagi memilih wakil rakyat yang difikirkan mampu memberikan perkhidmatan terbaik,” katanya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu berkata, kempen yang sudah masuk hari kelima hari ini perlu dipermudah dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) kempen.

Katanya, sekatan kempen menyebabkan calon menghadapi kesukaran untuk menjelaskan mengenai pelan pembangunan dan kemajuan yang dicadangkan untuk kawasan masing-masing.

“Melaka sudah masuk fasa keempat Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan orang ramai sudah boleh membeli-belah di pasar raya, berkelah di pantai dan seumpamanya.

“Murid dan pelajar pun sudah bersekolah, jadi saya harap berilah sedikit kelonggaran kepada calon untuk berkempen kerana bukan semua pengundi, terutama warga emas yang mengikuti kempen melalui media sosial,” katanya.

Mohamad Ali berhadapan dengan cabaran calon Dr Mohd Aleef Yusof (Perikatan Nasional), Hasmorny Tamby (Pakatan Harapan) dan Mohd Zahar Hashim (Bebas).

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron yangmewakili BN menang dengan undi majoriti 2,229.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

685
Kongsi :
Previous post Paya Rumput: Ekonomi rakyat jadi fokus Rais Yasin
Next post Majlis tahlil pertemukan dua calon Ayer Limau
Ubah saiz-+=