Berbaju kurung bukan halangan harung banjir
SUNGAI RAMBAI 11 Nov – Pembangunan infrastruktur dan pelancongan antara fokus utama yang akan diberi tumpuan oleh calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai, Siti Faizah Datuk Abdul Aziz.
Menurut beliau, sekiranya diberi kepercayaan dan mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November depan, dua fokus itu akan dirangka dalam mensejahterakan penduduk setempat.
Beliau yang juga Biro Kebajikan Parlimen Jasin berkata, isu banjir juga antara yang akan diberi penakanan utama bagi membantu penduduk yang sering terjejas setiap kali cuaca hujan.
“Isu banjir di Kampung Parit Benteng, di sini, juga kita akan lihat dan atasi. Sekiranya BN diberi mandat kita akan pastikan rumah di sini tidak dinaiki air lagi.
“Kita akan fokus infrastruktur jalan-jalan kampung, longkang tersumbat yang boleh menyumbang kepada bencana (banjir) akan diatasi,” katanya ketika ditemui selepas melawat mangsa banjir, di sini, hari ini.
Walaupun berbaju kurung, Siti Faizah dilihat tidak kekok mengharungi banjir di kawasan berkenaan serta mengambil maklum segala permasalahan dialami penduduk.
Dalam pada itu, beliau, kerja-kerja yang sebelum ini pernah dirancang oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terdahulu Datuk Hasan Abd Rahman juga akan diteruskan demi masyarakat di Sungai Rambai.
“Semua sedia maklum, Sungai Rambai adalah Gerbang Selatan Negeri dan ia berpotensi sebagai kawasan pelancongan.
“Jadi saya nampak pelancongan amat penting dan kita akan naikkan. Potensi dilihat juga agak tinggi kerana sempadan dan laluan masuk pelancong dari Johor dan Singapura,” katanya.
Jelasnya, sekiranya aktiviti pelancongan diberi nafas baharu dan dinaik taraf secara tidak langsung akan membantu penduduk tempatan menjana sumber pendapatan.
Siti Faizah akan berdepan saingan empat penjuru pada PRN ini apabila akan bertemu dengan calon Pakatan Harapan (PH) Farzana Hayani Mohd Nasir; Perikatan Nasional (PN) Muhammad Jefri Safry dan calon dari parti PUTRA, Nazatul Asyraf Md Dom.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.