Gigih berbasikal keliling kampung berkempen untuk calon Bebas Rembia
ALOR GAJAH 9 Nov – Atas semangat setiakawan, seorang bekas pesara polis, Isa Abdul sanggup berbasikal untuk berkempen memperkenalkan calon Bebas bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia, K Murali Krishnan di Kampung Tebat.
Isa, 85 merupakan jiran Murali dan juga bekas rakan setugas bapa calon Bebas itu ketika sama-sama berkhidmat dalam pasukan keselamatan berkenaan.
Dia turut mengganggap Murali seperti anaknya sendiri, malah dia dipanggil dengan gelaran Abah oleh Murali dan keakraban itu mendorong Murali melantik Isa sebagai pengurus kempennya sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
“Murali lahir dan membesar di kampung ini. Saya mengenalinya dari kecil lagi saya beritahu dia bertandinglah atas tiket Bebas,” katanya ketika dihubungi di sini.
Isa berkata, meskipun dirinya sudah dimamah usia, namun Isa tetap gagah berbasikal bagi menjayakan kempen untuk Murali.
“Saya maklum dengan arahan pihak berkuasa agar mematuhi prosedur standard operasi (SOP) pilihan raya dan patuh peraturan yang ditetapkan sepanjang saya membantunya berkempen dengan berbasikal sendirian sekitar Rembia,” katanya.
Menurut Isa, Murali tidak asing dalam kalangan penduduk Rembia kerana beliau merupakan anak tempatan kampung itu.
Katanya, Murali juga terkenal dengan sikap suka membantu penduduk kampung yang memerlukan bantuan menerusi pertubuhan bukan kerajaan yang diwakilinya.
Dalam pada itu, Murali berkata, memandangkan SOP yang ketat dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak membenarkan berkempen secara besar-besaran, pihaknya akan mengerakkan kempen melalui platform sosial media.
Tambahnya, Isa seorang yang tegas dan sebagai calon Bebas bagi kerusi Rembia, beliau mengikut nasihat orang tua-tua supaya melakukan amal kebajikan tanpa perlu menghebahkan kebaikan yang dilakukan.
Murali berdepan saingan calon Barisan Nasional, Datuk Muhammad Jailani Khamis, Zamzuri Ariffin (Perikatan Nasional) Zamri Pakiri (Pakatan Harapan) dan seorang lagi calon Bebas iaitu Sabarudin Kudus.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.