Ismail Sabri bakal buka lembaran hubungan dua hala dengan Indonesia
JAKARTA 8 Nov – Datuk Seri Ismail Sabri akan mengadakan lawatan rasmi tiga hari ke Indonesia bermula Selasa, iaitu lawatan sulung beliau ke negara jiran itu sejak mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri kesembilan pada 21 Ogos 2021.
Pertemuan sulung rasmi perdana menteri dengan Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) akan membuka lembaran baru dalam hubungan dua hala yang sedia kukuh dan pelbagai antara Malaysia dan Indonesia.
Kedua-dua pemimpin akan meneroka peluang kerjasama dalam usaha-usaha pemulihan daripada kesan pandemik COVID-19, kata Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Malaysia di Indonesia Adlan Mohd Shaffieq.
“Isu-isu yang akan disentuh adalah berhubung bidang pelaburan dan perdagangan, isu disriminasi terhadap minyak sawit, pembatasan sempadan maritim dan penyenaraian bersama warisan kebudayaan UNESCO,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Ismail Sabri akan turut mengadakan perjumpaan dengan komuniti perniagaan dan pemain industri utama Indonesia, Ketua-ketua Editor Indonesia, diaspora Malaysia di Indonesia serta menyaksikan pemeteraian beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) dan Perjanjian di antara kedua-dua negara.
Perdana menteri akan diiringi oleh Menteri Luar Negeri Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan pegawai-pegawai kementerian dan agensi yang berkaitan.
Adlan berkata kedua-dua pemimpin juga akan membincangkan perkembangan-perkembangan penting dalam rantau ini dalam konteks kerjasama ASEAN, serta cabaran-cabaran yang mampu menjejaskan keamanan, pertumbuhan dan kemakmuran rantau ini.
“Indonesia merupakan salah sebuah negara jiran yang paling dekat dan terpenting untuk Malaysia. Indonesia merupakan rakan dagang ke sembilan Malaysia di peringkat global dan ketiga terbesar di kalangan negara anggota ASEAN selepas Singapura dan Thailand.
“Jumlah perdagangan dua hala bagi Januari hingga Ogos 2021 bernilai US$13.97 bilion atau RM57.65 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 36.3 peratus berbanding US$10.25 bilion pada tempoh sama tahun lalu,” katanya.
Perdana menteri akan turut melawat fasiliti industri pertahanan di wilayah Bandung.
Lawatan rasmi ini akan dilaksanakan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia dan Indonesia. -BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.