Kerajaan sasar bina 1,300 unit rumah PPRT tahun ini

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

KUALA LUMPUR, 29 Julai – Kerajaan menyasarkan untuk membina 1,300 unit rumah Projek Perumahan Rakyat Miskin Tegar (PPRT) dan membaik pulih 10,000 rumah sedia ada tahun ini, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata sejak 2016 di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11), sebanyak 7,149 rumah PPRT telah dibina dan 38,057 rumah telah dibaik pulih.

“Bantuan rumah rakyat yang dilaksana di bawah KPLB dikenali sebagai PPRT bertujuan memastikan golongan miskin dan miskin tegar memiliki rumah kediaman yang selamat dan selesa,” katanya menjawab soalan Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) yang ingin tahu bentuk bantuan yang diberikan KPLB bagi memperluaskan pemilikan rumah bagi rakyat miskin di luar bandar.

Menjawab soalan tambahan Ahmad Nazlan mengenai kesediaan kementerian untuk menambah baik spesifikasi rumah yang akan dibina dan kualitinya, Abdul Latiff berkata spesifikasi pembinaannya adalah sama iaitu rumah batu bata tiga bilik dan rumah panjang.

“Rumah batu bata berukuran 22×30 kaki iaitu 660 kaki persegi manakala rumah panjang ialah 17.72×40 kaki iaitu 713 kaki persegi.

“…tetapi oleh kerana kita dapat menarik perhatian vendor G1 dan G2, jadi kita cuba teknologi sistem binaan berindustri (IBS). Kita sudah panggil beberapa syarikat IBS supaya kualiti dan bantuan rumah PPRT sampai ke sasaran secara berkesan,” jelasnya.- BERNAMA

Views:

901
Kongsi :
Previous post KPDNHEP perlukan lebih ramai anggota dan pegawai penguatkuasa
Next post PM akan umum mengenai lanjutan moratorium, bantuan bersasar petang ini
Ubah saiz-+=