Pasukan pemantau bersepadu ditempatkan di Pusat Penamaan Calon PRN Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER KEROH 7 Nov – Enam pasukan pemantau bersepadu terdiri daripada empat agensi pihak berkuasa akan ditempatkan di semua pusat penamaan calon (PPC) Pilihan Raya Negeri (PRN) esok bagi mengekang berlakunya perlanggaran prosedur operasi standard (SOP).

Ketua Polis Melaka Datuk Wira Abdul Majid Mohd Ali berkata, pendekatan baharu itu diwujudkan bagi memantau aktiviti berkaitan pelanggaran SOP mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Menurutnya, setiap pasukan terdiri daripada sekurang-kurangnya empat wakil daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan (KKM), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Seperti diketahui, Melaka masih lagi dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) jadi pelaksanaan SOP dalam norma baharu ini akan dikuatkuasakan di PPC esok dengan pendekatan baharu melalui kewujudan pasukan pemantau bersepadu ini.

“Setiap kawasan Parlimen akan ditempatkan dua pasukan ini yang akan mengambil tindakan tindakan ‘on the spot’ (segera) di lokasi terhadap mana-mana kumpulan atau individu yang didapati melanggar Akta 342,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Op PRN DUN Melaka 2021 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka (IPK), Bukit Beruang di sini hari ini.

Hadir sama Timbalannya Datuk Razali Abu Samah.

Mengulas lanjut Abdul Majid berkata, usaha mewujudkan pasukan bersepadu itu selaras dengan arahan KKM yang menguatkuasakan larangan tidak membenarkan sebarang aktiviti perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya termasuk pelancaran jentera bermula pada 24 Oktober lalu esok sehingga 27 November depan.

“Hasil perbincangan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebentar tadi, kita juga menetapkan, hanya tiga orang sahaja yang boleh berada di pusat penamaan calon iaitu calon, pencadang dan penyokong bagi setiap parti.

“Calon bertanding tidak dibenarkan membawa jentera seperti penyokong atau tindakan tegas akan terus dikenakan jika mereka melanggar Akta 342.

“Kematangan semua pihak amat penting bagi memastikan kesihatan awam terjamin,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

448
Kongsi :
Previous post Iman umum bertanding di DUN Machap Jaya
Next post Pasukan Cantas Khas tangani gengsterisme sepanjang PRN Melaka
Ubah saiz-+=