Manfaat kepada golongan sasar akan diperincikan
TABOH NANING 29 Julai – Inisiatif Program Bantuan Lampin Pakai Buang Dewasa dan Bantuan Susu Sebagai Makanan akan diperincikan untuk disampaikan secara terus kepada golongan memerlukan.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri Datuk Latipah Omar berkata, ia kerana terdapat sebahagian penerima bantuan tersebut yang dilaporkan telah pulih dan dilihat tidak lagi layak menerima sumbangan terbabit.
“Kerajaan negeri akan kaji semula inisiatif ini dan mana-mana penerima yang sudah kembali pulih kita akan lihat kemampuan mereka dan ini akan memberi peluang kepada orang lain yang lebih memerlukan.
“Setakat tahun lalu seramai 2,240 penerima lampin pakai buang direkodkan dengan peruntukan sebanyak RM1.4 juta.
“Dalam masa sama program ini akan diteruskan, malah pelbagai inisiatif lain akan diteruskan asalkan ia memberi manfaat kepada rakyat,” katanya ketika ditemui di Pejabat Japerun Taboh Naning, baru-baru ini.
Dalam pada itu, inisiatif bantuan susu tersebut telah memperuntukkan sebanyak RM1.7 juta pada Belanjawan Negeri 2020 dengan manfaat 361 penerima termasuk golongan kanak-kanak, pesakit terlantar dan warga emas di negeri ini.
Bagaimanapun katanya, manfaat ini juga perlu diperincikan disebabkan pelbagai jenama dan penyesuaian diperlukan bagi menyampaikan bantuan berkenaan.
“Kita kena lihat susu apa yang bersesuaian untuk penerima yang akan kita bantu, jadi ia juga membabitkan pelbagai penggunaan jenama yang berbeza yang juga melibatkan peruntukan harga susu yang berbeza di pasaran.
“Perkara ini agak sedikit menyulitkan dan kadangkala memakan masa disebabkan proses perolehan tersebut, tetapi kita akan pastikan manfaat ini diteruskan sebagai bantuan sokongan,” katanya.