Deepavali tahun ini kembali meriah
GADEK 4 Nov- Sambutan Deepavali tahun ini kembali meriah terutama di Kuil Sri Sithi Vinaiyagar Sri Balasupramaniarparibalana, yang menjadi tumpuan masyarakat Hindu di sekitar Alor Gajah dan Durian Tunggal untuk bersembahyang pada hari pertama perayaan itu.
Hal itu susulan peralihan Melaka ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang membolehkan Hari Deepavali disambut dengan meriah meskipun masih perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 yang ditetapkan.
Menurut Pengerusi Kuil, M. Kalaichelvan, 57, seawal jam 7 pagi tadi kuilnya kembali meriah dihadiri ratusan penganut agama Hindu bersembahyang di situ.
Namun, katanya kesemua yang hadir mematuhi SOP ditetapkan khususnya membabitkan penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka.
“Sejak awal pagi tadi memang sudah ramai hadir ke kuil, saya jangka jumlah pengunjung boleh dikatakan hampir sama seperti sebelum pandemik COVID-19.
“Persiapan untuk Deepavali kali ini, bagi pihak kuil, kami telah buat persiapan lebih 2 minggu persiapan.
“Selain itu, kita juga telah keluarkan pemberitahuan agar masyarakat Hindu tidak datang serta serta kehadiran hanya pada jam 7 hingga 11 pagi sahaja mengikut ketetapan SOP,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini.
Dalam pada itu, tinjauan Melaka Hari Ini di kuil terbesar dalam Daerah Alor Gajah itu mendapati, pihak pengurusan turut menggerakan kakitangannya bagi memantau penjarakan fizikal dilakukan ketika menyempurnakan upacara agama itu.
Hasil tinjauan mendapati, selain menghias kuil, pihak pengurusan turut memasang pita pelekat pada lantai sebagai panduan penjarakkan sosial, seperti yang ditetapkan kerajaan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.