Loji Rawatan Air perlu diselenggara segera

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

AYER KEROH 2 Nov – Melaka memerlukan purata 580 juta hingga 600 juta liter bekalan air bersih setiap hari bagi menampung keperluan rakyat negeri ini.

Exco Perhubungan Masyarakat Negeri, Datuk Wira Ismail Othman berkata, kapasiti di negeri ini bagaimanapun masih mencukupi memandangkan terdapat 10 loji rawatan air (LRA) yang berupaya mengeluarkan 630 hingga 640 juta liter air terawat sehari berbanding kapasiti sebelum ini iaitu sekitar 611 juta liter sehari.

Namun, katanya kesemua LRA itu perlu diselenggara segera bagi memastikan kapasiti air terawat dikeluarkan secara maksima sekali gus memastikan bekalan air secukupnya disalurkan kepada pengguna.

“Untuk makluman, SAMB telah berbelanja RM40 juta untuk membina ‘Compact Plant’ bagi rawatan air bersih di Chin Chin bersebelahan Tasik Biru yang akan dapat mengeluarkan 30 juta liter air sehari bagi menangani masalah air bersih yang mana ia dijangka siap pada Dis tahun ini.

“Pada masa sama, kita ada 10 LRA yang mampu mengeluarkan bekalan air terawat pada purata 630 hingga 640 juta liter sehari namun ia masih di bawah paras purata -3.02 peratus.

“Justeru, saya meminta LRA yang ada ini diseleggara segera supaya ia dapat mengeluarkan kapasiti air yang sepatutnya untuk menampung bekalan air di negeri ini yang kian meningkat terutama apabila Melaka beralih ke Fasa 4,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Dalam hantaran itu, Ismail turut menyuarakan kekecewaan kerana projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) Sungai Jernih yang sepatutnya dibina segera kini tidak diteruskan lagi.

“Jika projek Sungai Jernih diteruskan, saya pasti masalah gangguan bekalan air di Melaka dapat diatasi.

“Tapi malangnya, kementerian terlibat tidak meneruskannya lagi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2711
Kongsi :
Previous post Tolak Bersatu, rakyat nilai sendiri – Rafiq
Next post Ceramah politik berkaitan PRN Melaka tidak dibenarkan – KP
Ubah saiz-+=