Enam Ketua UMNO Bahagian di Melaka sepakat tolak Bersatu

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

KLEBANG 1 Nov – Semua enam Ketua UMNO Bahagian di Melaka sepakat untuk menolak kerjasama dengan Bersatu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 Nov depan.

Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka, Senator Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad memaklumkan keputusan itu merupakan kehendak akar umbi parti yang menolak sebarang kerjasama dengan Bersatu.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu berkata, keputusan itu juga dibuat memandangkan kedua-dua parti tidak mempunyai hubungan yang baik di peringkat akar umbi.

“Selain itu, Ketua (Badan Pimpinan) Bersatu Melaka juga banyak menekan atau memberi tindakan yang tidak menyenangkan ahli-ahli UMNO.

“Sebagai contoh pada pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang lepas beliau langsung tidak memberi peluang kepada pemimpin UMNO di peringkat kampung dan menyisihkan mereka daripada sebarang jawatan dalam JPKK (Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung).

“Banyak yang telah beliau lakukan mengguris hati dan perasaan ahli-ahli UMNO,” katanya dalam dalam satu sidang media hari ini.

Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka Datuk Abdul Razak Abdul Rahman, Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah Datuk Rosepandi Leman dan Ketua Pemuda UMNO Kota Melaka Mohd Noor Helmy Abdul Halim.

Bagaimanapun, beliau berkata, dalam ketetapan sama, pihaknya akan terus memperkukuhkan kerjasama dengan PAS menerusi Muafakat Nasional dalam PRN itu nanti.

“Justeru, kami menyeru PAS untuk bersama UMNO bagi mengelakkan perpecahan Melayu dan agama Islam menjadi lebih besar.

“Bersatu merupakan parti yang kecil, jadi kita letak harapan PAS memikirkan sebaiknya untuk kita besama dan menawan semula Melaka dengan lebih selesa.

“Saya menyeru ahli-ahli UMNO dan PAS untuk bersama-sama dalam usaha memenangi PRN kali ini dan dapat memikirkan kebaikan rakyat negeri Melaka,” katanya.

Menurutnya, pendirian untuk menolak kerjasama dengan Bersatu dan kembali memperkukuh Muafakat Nasional di Melaka juga telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu pertemuan semalam.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1174
Kongsi :
Previous post Kanak-kanak lelaki parah ditikam warga emas
Next post Tiada parti politik, individu kebal daripada undang-undang – PM Ismail Sabri
Ubah saiz-+=