Bapa mengaku tak bersalah pukul anak
AYER KEROH 27 Julai – Seorang pekerja bengkel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini, atas pertuduhan memukul anak perempuannya, minggu lalu.
Tertuduh, yang berusia 35 tahun membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah dihadapan Hakim Norma Ismail.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan cedera dengan memukul tangan, bahu dan kaki kiri serta kaki kanan mangsa yang berusia enam tahun dengan menggunakan kabel warna hitam.
Perbuatan itu dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Merlimau, Jasin antara jam 12 tengah hari hingga 6 petang, pada 14 Julai 2020.
Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda atau sebat atau mana- mana dua daripada hukuman itu.
Terdahulu, prosiding pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mazuin Hashim memohon tiada jaminan diberikan terhadap tertuduh dengan mengambil kira faktor keselamatan mangsa manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM10,000 diberikan kepada tertuduh dengan syarat tambahan dia tidak mengganggu mangsa serta perlu melapor diri di balai polis terdekat sehingga kes selesai.
Norma turut menetapkan 27 Ogos depan tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.