Trend poligami di Melaka meningkat

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

AYER KEROH 28 Okt – Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) merekodkan peningkatan dalam perkahwinan poligami di negeri ini dalam tempoh 2018 hingga tahun lalu.

Pengarahnya, Datuk Che Sukri Che Mat berkata, statistik itu diperolehi menerusi data Sistem Pengurusan Perkahwinan Islam Malaysia (SPPIM) yang merekodkan sebanyak 1,432 pendaftaran dibuat di negeri ini dalam tempoh tiga tahun itu.

Katanya, berdasarkan pecahan statistik, sebanyak 490 pendaftaran direkodkan pada tahun 2018 manakala 455 pendaftaran pada tahun 2019 dan 487 pada tahun lalu.

“Data ini menunjukkan bahawa terdapat trend peningkatan permohonan poligami yang berlaku pada tiga tahun berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

CHE SUKRI.

Menurut Che Sukri, Islam membenarkan poligami bagi menjaga maslahat umat Islam sama ada menjaga kebajikan lelaki iaitu suami atau isterinya yang bakal dikahwininya.

Jelasnya, hakikatnya seorang lelaki Islam boleh berpoligami iaitu beristeri lebih daripada satu sekiranya berkemampuan dan berlaku adil kepada isteri atau isteri-isterinya serta tanggungannya.

“Berdasarkan Seksyen 23 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Melaka) Tahun 2002 menetapkan bahawa seorang lelaki yang mahu berpoligami hendaklah memohon kebenaran bertulis terlebih dahulu daripada Mahkamah Tinggi Syariah.

“Kebenaran yang perlu dipohon kepada Mahkamah bukanlah bertujuan untuk menyusahkan lelaki atau suami yang hendak berpoligami.

“Tetapi ia bertujuan untuk menjaga institusi kekeluargaan itu sendiri iaitu hak-hak isteri dan hak perempuan yang akan dinikahi serta semua tanggungannya.

“Bagaimanapun, jika lelaki berpoligami tanpa kebenaran mahkamah dikhuatiri akan mendatangkan masalah termasuk dikenakan denda atau memberi kesan kepada perkahwinan termasuk hak anak-anak dan isteri terabai,” katanya.

Dalam pada itu, JAIM memaklumkan telah menyediakan teks khutbah berkaitan poligami yang bertajuk Nikmat Dicari Kasih Dikongsi yang akan dibacakan di semua masjid di negeri ini esok.

Katanya, khutbah berkenaan dibacakan bagi memberikan penjelasan kepada orang awam mengenai konsep poligami dalam Islam.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3121
Kongsi :
Previous post Kajian Melaka Bebas Banjir 2035 awal tahun depan
Next post SPRM tempatkan anggota, pantau PRN Melaka
Ubah saiz-+=