MUDA dikompaun RM4,000, langgar SOP PRN

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

BANDA HILIR 27 Okt – Polis Melaka mengeluarkan kompaun sebanyak RM4,000 terhadap Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) selepas menganjurkan sidang media di Bangunan Stadthuys di sini, petang tadi.

Kompaun itu dikeluarkan oleh sepasukan pegawai dan anggota pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah kira-kira jam 1.30 petang.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, dalam penugasan pasukan itu di sekitar lokasi pelancongan di Banda Hilir anggota terlibat telah melihat beberapa individu berpakaian kemeja-T tertera perkataan ‘MUDA’.

KETUA Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad.

Katanya, ketika pasukan itu menghampiri kumpulan individu terbabit, seorang lelaki berusia 20 tahun mengaku sebagai penganjur perhimpunan sidang media yang akan dibuat oleh Pengerusi MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

“Polis telah menasihatkan penganjur untuk menghentikan program sidang media tersebut berikutan SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 melarang sebarang program berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka mulai kelmarin hingga 27 November ini, yang menyebabkan kehadiran orang ramai hingga menyukarkan penjarakan sosial.

“Bagaimanapun lelaki berkenaan tidak memberi kerjasama dan meneruskan sidang media berkenaan.

“Siasatan lanjut turut mendapati tiada sebarang permohonan permit untuk mengadakan perhimpunan berkenaan diterima oleh pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sidang media berkenaan dimulakan sebaik sahaja Syed Saddiq tiba di lokasi berkenaan dan program tersebut dihadiri kira-kira 30 hingga 40 orang selama lebih kurang 30 minit.

“Susulan kejadian itu, lelaki berusia 20 tahun itu dipanggil ke IPD Melaka Tengah bagi memaklumkan kesalahan dilakukan mengikut Peraturan 10 P.U (A) 293 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPDBP) (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Pelan Pemulihan Negara) 2021.

“Kompaun sebanyak RM4,000 dikeluarkan kerana menganjurkan sidang media berkaitan PRN Melaka, yang menyebabkan orang ramai berhimpun,” katanya.

Terdahulu, Syed Saddiq mengadakan sidang media berkenaan bagi mengumumkan MUDA akan bersama Pakatan Harapan (PH) untuk bertanding dalam PRN Melaka yang dijadualkan pada 20 November ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

615
Kongsi :
Previous post Ada faktor ‘wow’ dalam Bajet 2022 – PM
Next post ‘Tragedi Oktober’ buka tirai ucapan pelancaran jentera BN
Ubah saiz-+=