Parti politik jangan langgar SOP – KM

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

AYER KEROH 27 Okt – Semua parti politik yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diingatkan agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sedia ada buat masa ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, ia bagi mengelakkan Melaka menjadi penyebab utama kepada peningkatan wabak COVID-19 sekiranya masih ada individu yang tidak mematuhi SOP.

“Buat masa ini patuh sahaja SOP ditetapkan sehinggalah satu SOP baharu keluar, kalau diberikan kelonggaran kita perlu patuhi.

“Saya sarankan kepada semua parti-parti politik yang bersedia untuk bertanding pada PRN Melaka akan datang, buat sementara ini patuhi SOP yang telah ditetapkan.

“Kita tak mahu esok ada peningkatan jangkitan COVID-19 dan kita dituduh penyebab utama kepada jangkitan itu yang mungkin nanti naik mendadak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pintu Gerbang Little India di Jalan Bendahara di sini, hari ini.

Ujarnya setakat ini beliau masih belum mengetahui apakah keputusan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sama ada PRN Melaka akan diberikan sedikit kelonggaran.

“Saya tak tahu apakah keputusan (SOP), jadi saya berharap ada sedikit kelonggaran bagi memudahkan proses PRN Melaka dan kempen itu dijalankan.

“Dah tentulah PRN Melaka ini agak ketat sikit dengan SOP yang diputuskan tetapi ada rayuan-rayuan yang diminta oleh parti-parti untuk diberikan sedikit kelonggaran,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

408
Kongsi :
Previous post SWM kutip 450 tan sampah sisa banjir
Next post Ada faktor ‘wow’ dalam Bajet 2022 – PM
Ubah saiz-+=