Sorting by

×

KPWKM lancar MyDaftar OKU, tambah baik sistem pendaftaran dalam talian

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

PENGKALAN BATU 27 Okt – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) hari ini, melancarkan Sistem Pendaftaran Orang Kurang Upaya (OKU) Secara Dalam Talian (MyDaftar OKU) bagi memperkasakan penyampaian perkhidmatan kepada golongan itu.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, sebelum ini, sistem pendaftaran bagi mendapatkan kad OKU dilakukan secara manual menerusi platform Sistem Maklumat OKU (SMOKU) yang hanya boleh diakses oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya, bagi memantapkan dan menambah baik sistem perkhidmatan sedia ada dengan lebih berkesan, kementeriannya mewujudkan kemudahan pendaftaran secara dalam talian.

“Menerusi MyDaftar OKU yang bermula pada bulan ini, kad OKU dibuat dalam bentuk digital dengan pemohon hanya perlu mengemukakan maklumat termasuk pengesahan perubatan menerusi laman web MyDaftar OKU.

“Kad OKU ini juga bukan sahaja disediakan dalam bentuk fizikal namun turut diberikan dalam bentuk kod QR,” katanya selepas menyempurnakan Majlis MyDaftar OKU di pejabat Persatuan Kebangsaan Autism Malaysia (NASOM) di Bukit Peringgit di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Rina berkata kelulusan bagi perdaftaran menerusi sistem berkenaan akan diperolehi dalam tempoh 24 jam berbanding pendaftaran sebelum ini yang mengambil masa antara 14 hingga 30 hari untuk mendapat kelulusan.

“Jumlah OKU yang berdaftar dengan JKM menerusi statistik SMOKU sehingga 30 September adalah seramai 582,944, jadi kita sasarkan dalam bulan November ini pertambahan 2,000 lagi sekiranya platform itu dapat disebarkan secara meluas.

“Fokus MyDaftar ini adalah kepada individu OKU yang belum mendaftar sahaja manakala OKU yang sudah mendaftar dengan JKM itu tidak perlu mendaftar kerana dalam masa jangka panjang secara berperingkat kita akan menukar atau ‘integrate’ pendaftar sedia ada ke dalam MyDaftar berkenaan,” katanya.

Rina berkata, terdapar 32 manfaat dan keistimewaan ditawarkan pelbagai pihak sama ada sektor kerajaan mahupun swasta.

Jelasnya, antara manfaat itu adalah bantuan kewangan JKM mengikut syarat dan kelayakan semasa, pelepasan cukai oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta pengurangan tambang pengangkutan selain program bantuan pendidikan di sekolah dan institut pengajian tinggi (IPT).

“Saya berharap perkhidmatan sistem itu dapat memastikan tiada golongan OKU tercicir dan ketinggalan daripada perhatian kerajaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

869
Kongsi :
Previous post PRN Melaka: PN setuju guna satu lambang
Next post Peruntukan RM2 juta pamer budaya, identiti masyarakat India di Melaka
Ubah saiz-+=