Mahu teruskan pembangunan di Merlimau jika masih diberi mandat – Roslan

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

MERLIMAU 26 Okt – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Datuk Roslan Ahmad komited untuk meneruskan projek pembangunan yang dirancang sekiranya beliau diberi peluang untuk bertanding dan mempertahankan kerusi itu.

Roslan berkata, keputusan itu bagaimanapun bergantung kepada pucuk pimpinan parti kerana apa sahaja ditetapkan Barisan Nasional (BN) dan UMNO adalah untuk kebaikan semua pihak.

Katanya, beliau akur sekiranya parti tidak mencalonkan dirinya untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau yang dimenanginya sejak 10 tahun lalu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Merlimau.

“Saya berserah kepada pucuk pimpinan parti sebab saya orang parti, jadi saya serahkan kepada pucuk pimpinan parti.

“Kalau parti menginginkan saya untuk meneruskan khidmat, saya teruskan untuk bertanding, namun jika sebaliknya saya tetap akan memberikan sokongan bagi memastikan calon kita menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Saya yakin DUN Merlimau boleh menyumbang satu kerusi untuk kemenangan BN dan seterusnya membentuk kerajaan negeri di Melaka,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Sumbangan Deepavali di Dewan Lipat Kajang di sini, hari ini.

ROSLAN berucap di Majlis Penyampaian Sumbangan Perayaan Deepavali di Dewan Lipat Kajang, Jasin.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Exco Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Infrastruktur negeri berkata, sejak menjadi kerajaan 18 bulan lalu, banyak perancangan serta projek pembangunan telah dirancang untuk rakyat kawasan Merlimau.

Justeru, beliau yakin sekiranya diberi mandat sekali lagi oleh BN, projek berkenaan dapat dilaksanakan secepat mungkin.

“Kalau berlaku sebaliknya, banyak rancangan kita akan tergendala dan terhalang sebab dalam tempoh 22 bulan (Pakatan Harapan memerintah) cukuplah mengajar kita.

“Banyak program yang sudah diluluskan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), tetapi selama 22 bulan itu projek tidak dijalankan, sudah lulus tetapi tidak dilaksana,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

948
Kongsi :
Previous post Banjir lumpur punca masalah air berbau, kotor di Melaka – Exco
Next post RM21 juta bantu B40 jana pendapatan
Ubah saiz-+=