Pejuang tidak bertanding di PRN Melaka
KUALA LUMPUR 25 Okt – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) hari ini memutuskan untuk tidak menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan diadakan pada 20 Nov ini.
Pengerusi Pejuang Tun Dr Mahathir Mohamad berkata parti itu beranggapan PRN berkenaan cuma mainan politik pihak tertentu selain keadaan semasa negara yang masih berdepan COVID-19 bukan masa terbaik mengadakan pilihan raya.
“Kita sedar dengan COVID-19 dan melalui pengalaman kita apabila diadakan PRN di Sabah, selepas itu bilangan kes meningkat akhirnya sampai 25,000. Sekarang ini baru turun sikit tetapi kalau kita ada pilihan raya ini kita khuatir akan ada sekali lagi satu pandemik yang besar berpunca daripada pilihan raya di Melaka.
“Jadi pilihan raya ini tidak patut diadakan sama sekali dan kejatuhan kerajaan di Melaka juga tidak patut diusahakan. Ini seolah-olah mereka anggap Dewan Undangan Negeri (DUN) itu adalah hak mereka untuk membuat apa sahaja yang mereka suka sebaliknya kita adakan DUN untuk tangani masalah dalam negeri,” katanya dalam sidang media di ibu negara, hari ini.
Turut hadir Presiden Pejuang Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan barisan kepimpinan Pejuang.
Dr Mahathir berkata meskipun tindakan menarik diri atau melompat parti di kalangan ADUN tidak menjadi kesalahan di negara ini kerana tiada undang-undang yang boleh menghalang aktiviti seperti itu, namun ia membabitkan soal moral.
“Mereka harus ingat, mereka dipilih oleh rakyat dan sebab itu mereka patut akur kepada segala janji mereka kepada rakyat. Sebaliknya mereka bukan fikir tentang pilihan oleh rakyat, mereka lebih utamakan kepentingan diri mereka,” katanya.
Beliau berkata negara akan hancur sekiranya terdapat pihak yang dengan sewenangnya menjatuh dan kemudian mendirikan kerajaan.
“Sebab itu Pejuang tidak ingin terlibat dengan gejala seperti ini. Kita tidak akan ambil bahagian dan kita percaya siapa juga yang dipilih untuk mendiri kerajaan, keadaannya sama tak ada perubahan,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRN Melaka pada 8 Nov manakala tarikh mengundi pula pada 20 Nov.
PRN Melaka diadakan susulan pembubaran DUN Melaka pada 4 Okt lepas apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bertindak menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.