Bersatu cadang SOP PRN Melaka diperhalusi lagi

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

TELOK MAS 25 Okt – Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan mencadangkan kerajaan memperhalusi semula prosedur operasi standard (SOP) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Beliau berkata, penelitian semula perlu dilakukan bagi memastikan segala maklumat dan tawaran setiap parti bertanding dapat disalurkan terus kepada rakyat.

“Bersatu menghormati keputusan (SOP) yang dikeluarkan, (memang) ada sedikit cabaran dalam kempen yang berjalan dan keputusan ini kita hormati demi kebaikan semua khususnya berkaitan soal kesihatan.

“Bagi kita ada beberapa pandangan apabila melihat SOP yang dikeluarkan kerajaan iaitu ada sedikit kebimbangan sama ada boleh atau tidak rakyat dapatkan maklumat tepat mengenai tawaran parti yang bersaing dalam PRN kali ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Bilik Gerakan Perikatan Nasional (PN) di Telok Mas, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, terdapat beberapa perkara masih perlu diperincikan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membabitkan SOP PRN yang diumumkan semalam.

Antaranya, adakah menjadi kesalahan sekiranya calon yang sedang makan di kedai secara tidak sengaja berjumpa dengan orang ramai.

“Dalam pertemuan jentera di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), antara pertanyaan yang paling banyak ialah kalau kita boleh pergi ke kedai makan dan calon juga datang ke kedai sama, tiba-tiba ada orang datang berjumpa dengan calon, adakah itu melanggar SOP?

“Dan kalau sekiranya calon atau kita (jentera) ke pasar malam adakah itu juga melanggar SOP?,” soalnya.

Justeru, katanya, perkara itu dan beberapa pandangan berhubung SOP akan dibawa ke peringkat saluran dalaman membabitkan jemaah menteri kabinet.

“Sebagai menghormati hubungan kita dalam kerajaan persekutuan adalah lebih baik cadangan itu melalui saluran dalaman sebab menteri kita ada dalam kabinet, kita hormati dan sudah pasti kita harapkan ada penambahbaikan boleh dilakukan untuk memastikan ‘engangement’ dengan rakyat dapat dilakukan dengan baik,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

361
Kongsi :
Previous post Jentera parti disaran buat ujian kendiri COVID-19 – Rahmad
Next post Kebajikan masyarakat India tidak dilupa – KM
Ubah saiz-+=