Polis Melaka beri amaran individu, parti politik langgar SOP PRN

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

AYER KEROH 25 Okt.- Sebarang aktiviti membabitkan perhimpunan ramai sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan dipantau, kata Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Abdul Majid Mohd Ali.

Beliau berkata pemantauan itu dilakukan bagi memastikan tidak berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan orang ramai termasuk jentera parti yang bertanding.

“Semua pegawai dan anggota sudah dimaklumkan mengenai perkara itu dan tindakan tegas akan diambil jika ada pihak, termasuk parti politik yang melanggar arahan berkenaan.

“Sebarang tindakan akan diambil mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, apa juga bentuk perhimpunan yang berkaitan dengan pilihan raya berkuat kuasa hari ini hingga 27 November depan adalah dilarang.

Ia termasuklah penganjuran majlis sosial dan perhimpunan seperti pelancaran jentera pilihan raya, bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan COVID-19.

Larangan itu berdasarkan peruntukan di bawah subperaturan 10 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021 (P.U.(A) 293/2021) yang dibuat di bawah subseksyen 11(2) Akta 342.

Jika dikesan berlaku pelanggaran SOP ditetapkan kerajaan, mana-mana individu, penganjur atau organisasi boleh dikenakan tindakan seperti kompaun atau tindakan pendakwaan di mahkamah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

453
Kongsi :
Previous post Rakyat lega SOP baharu PRN Melaka
Next post PRN Melaka: Cadang berkempen secara maya dan media elektronik
Ubah saiz-+=