PRN Melaka: Ahli UMNO mampu biasakan SOP baharu
TANJUNG BIDARA 24 Okt – Pengerusi Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak yakin setiap ahli UMNO di negeri ini mampu menerima dan menyesuaikan diri dengan prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka nanti.
Menurut beliau, salah satu SOP baharu itu yang menetapkan penganjuran ceramah secara dalam talian dianggap baharu namun penyesuaian mengenainya harus dibuat.
“Kempen atas talian ini satu perkara baharu bagi kita, belum pernah…namun kita kena buat adjustment pada pendekatan kempen kali ini.
“Saya percaya ahli parti kita boleh melakukan sedemikian dan ini untuk menjaga keselamatan kesihatan masyarakat umum,” katanya kepada media selepas program Ziarah Kasih yang turut dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Beliau mengulas SOP khas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sempena PRN negeri akan datang antaranya tidak dibenarkan menganjurkan ceramah, tidak membenarkan sesi ‘walkabout’ dan disaran berkempen melalui media sosial.
Selain itu pergerakan jentera parti juga mestilah menggunakan kenderaan serta perlu membuka pembesar suara, dengan syarat tempoh masa lebih kurang lima hingga tujuh minit sahaja di satu-satu tempat.
Selain itu ketika ditanya mengenai pengabungan UMNO dalam parti Muafakat Nasional iaitu sebuah gabungan UMNO dan PAS, Najib berkata, perkara itu akan diputuskan dalam tempoh bebarapa hari akan datang.
“Seperti yang pernah dikatakan oleh Ab Rauf mengenai perkara ini, ia akan diputuskan dalam beberapa hari ini dan saya ada pendapat peribadi saya sendiri berhubung perkara ini.
“Tetapi biarlah parti putuskan perkara ini kerana kita hendak jadikan Melaka ini sebagai ‘template’ atau rujukan pilihan raya untuk PRU akan datang,” kata beliau.
Terdahulu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memaklumkan segala aktiviti, perhimpunan dan majlis sosial sepanjang PRN Melaka adalah tidak dibenarkan berikutan penularan varian Delta masih lagi meningkat ketika ini.
Katanya, arahan itu berkuatkuasa 25 Okt hingga 27 Nov depan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.