
‘UMNO tak lambat, itu strategi’ – Ahmad Maslan
SUNGAI UDANG 24 Okt – UMNO menepis dakwaan pihaknya lambat dalam membuat keputusan membabitkan kerjasama dan pengagihan kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Sebaliknya, Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan ia adalah strategi parti itu.
“Kami dah bersedia sejak bulan lepas dari segi persiapan dah siap sampai ke Pusat Daerah Mengundi (PDM), cuma nak menentukan dengan siapa itu sahaja.
“Tidak ada persoalan tentang lambat ke cepat, kita juga ada pergerakan taktikal sama ada lambat ke cepat, ini adalah strategi kita,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan di Bilik Gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bukit Terendak Sungai Udang di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Senator Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad.
Dalam pada itu, Ahmad berkata UMNO di peringkat bahagian, parlimen, Dewan Undangan Negeri (DUN) dan PDM memang sudah bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 Nov ini.
“Jentera UMNO sudah teratur, kita ada jentera di peringkat cawangan, jentera bahagian, negeri dan pusat.
“Calon belum dimuktamadkan tapi persiapan mesti muktamad, cawangan PDM, DUN dan parlimen dah muktamad,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.