Yayasan Keluarga Malaysia bantu pendidikan generasi muda – PM
KUCHING, 23 Okt — Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob malam ini melancarkan Yayasan Keluarga Malaysia sebagai sebuah institusi untuk membantu anak-anak Keluarga Malaysia, dalam memperoleh sokongan terutamanya daripada aspek pendidikan sehingga mereka mencapai usia 18 tahun.
Buat permulaan, beliau berkata bantuan di bawah yayasan ini akan disalurkan kepada anak-anak yang terkesan oleh pandemik COVID-19 yang melanda negara sejak tahun lepas.
“Seterusnya, yayasan ini akan melebar sayap perlindungannya kepada anak-anak Keluarga Malaysia yang lain, yang turut memerlukan sokongan seumpamanya. Inilah maksud keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran dalam Keluarga Malaysia,” katanya.
Berucap dalam majlis pelancaran Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, beliau meminta rakyat menginsafi kisah 13 anak yang masih kecil usianya daripada dua buah keluarga, hilang tempat bergantung dan berpaut kasih semasa pandemik ini.
“Adik Nazurah Nabilah binti Benyajeed, berusia 19 tahun yang terpaksa menjaga tujuh adiknya, manakala adik Hadrami bin Hasil menjadi kepala keluarga pada usia 11 tahun, untuk meneruskan kelangsungan hidup bersama 4 adiknya. Ironinya, adik bongsu Hadrami baru berusia tiga tahun,” katanya.
Ismail Sabri berkata anak-anak ini adalah antara 5,173 anak-anak rakyat negara ini yang menjadi yatim dan yatim piatu, kerana wabak COVID-19 dan terpaksa menggalas tanggungjawab besar ekoran kehilangan ibu bapa dan tidak dapat membesar sebagai kanak-kanak biasa.
“Maka, dengan rasa rendah diri, saya ingin menyeru seluruh Keluarga Malaysia, untuk berkongsi kasih sayang dengan anak-anak ini, agar mereka dapat menikmati kehidupan seperti rakan-rakan seusia mereka,” katanya.
Beliau meletakkan harapan tinggi supaya seluruh rakyat kekal bersama dengan mengetepikan perbezaan dan meraikan kebersamaan sebagai sebuah keluarga besar Malaysia.
“Saya menyeru seluruh Keluarga Malaysia, bersama membantu generasi ini. Harapan saya, dengan adanya Yayasan Keluarga Malaysia, tidak ada lagi anak Keluarga Malaysia yang terpaksa melalui penderitaan bersendirian,” tambahnya. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.