Keputusan MMKN dibuat secara kolektif – Sulaiman
AYER KEROH 22 Okt. – Segala persetujuan yang dibuat menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) adalah diputuskan secara bersama.
Itu penjelasan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkenaan dakwaan campur tangan Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dalam keputusan yang dipersetujui Exco kerajaan negeri sebelum ini.
Beliau berkata, setiap keputusan yang dibuat mestilah mengikut kepada perundangan di peringkat negeri.
“Mana mungkin Datuk Rauf boleh mencampuri urusan saya, disebut kononnya mesyuarat MMKN tak boleh dijalankan, banyak perkara yang ditangguh perlu dirujuk.
“Itu adalah keputusan sama-sama, Datuk Idris (Haron) pun pernah menjadi Ketua Menteri, keputusan secara bersama ketika MMKN sedang berlangsung kertas-kertas yang diangkat itu kita dapat pada hari mesyuarat.
“Bagaimana saya boleh merujuk kepada Datuk Ab Rauf jika kertas yang diangkat itu hanya diperoleh pada MMKN,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika wawancara khas ‘Anda Musykil Kami Terjah’ yang bersiaran secara maya di Facebook rasmi Menjelang PRU, sebentar tadi.
Ujarnya, keputusan dibuat secara konsensus (kata sepakat) dan jika ada ahli mesyuarat MMKN tidak bersetuju, maka ianya akan ditangguhkan.
“Kalaulah katakan ada datuk di kalangan ahli mesyuarat MMKN tidak bersetuju, tak apa keputusan mesti bersama kita tangguh dan segala persetujuan dalam itu adalah keputusan bersama.
“Apabila ada di kalangan Exco kata ‘minta dulu Yang Amat Berhormat kita tangguhkan kertas ini biar saya siasat dahulu’, yes… kita tangguh kan mesyuarat…kalau sesuatu perkara itu terlibat dalam kawasan mereka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.