Sorting by

×

Tubuh jawatankuasa siasat punca insiden anggota bomba lemas

Masa Membaca:57 Saat

KRUBONG 22 Okt – Satu jawatankuasa siasatan ditubuhkan bagi mencari punca berlakunya kejadian lemas mengorbankan anggota bomba semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Abu Bakar Katain berkata, pihaknya sudah memulakan siasatan berhubung insiden yang berlaku dan menjangkakan hasil siasatan diketahui satu atau dua minggu lagi.

Menurutnya, beberapa perkara perlu diperincikan terlebih dahulu sebelum merumuskan sebarang keputusan mengenainya nanti.

“Beberapa perkara perlu kita perincikan terutama berkenaan saksi kejadian perlu kita panggil dan ambil keterangan bagi membantu siasatan.

“Setakat ini yang sudah kita kenal pasti saksi ini dalam kalangan masyarakat awam yang membantu pihak bomba dalam proses penyelamatan tempoh hari,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada majlis kunjungan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Syed Mohd Fazmi Sayid Mohamad ke rumah keluarga Allahyarham Mohd Diya Che Jusoh di Krubong Jaya hari ini.

Menurut Abu Bakar, setakat ini, tiga hingga empat orang telah dikenal pasti sebagai saksi bagi dipanggil untuk merakam keterangan.

Katanya, jawatankuasa siasatan itu juga akan dianggotai pegawai pegawai kanan jabatan itu.

“Siasatan akan melihat dari pelbagai sudut antaranya aspek kelemahan, segi SOP dan proses kerja yang dilakukan, merangkumi setiap sudut,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

455
Kongsi :
Previous post Polis cari enam lelaki kes pergaduhan
Next post PRN Melaka: PN jangka bertanding semua 28 kerusi
Ubah saiz-+=