Sorting by

×

UTeM, Hatten Land Limited jalin kerjasama

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

DURIAN TUNGGAL 21 Okt. – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Hatten Land Limited merangka kerjasama strategik program-program berkaitan teknousahawanan secara maya, baru-baru ini.

Menerusi Majlis Menandatangani Surat Niat (LoI) itu, UTeM diwakili Penolong Naib Canselor (Industri dan Masyarakat), Prof. Madya Md Nazri Othman dan disaksikan Pengarah Pusat Pembangunan Perusahaan dan Teknousahawanan (CREATE), Isma Addi Jumbri.

Manakala Hatten Land Limited diwakili Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Hatten Land Limited, Datuk Colin Tan June Teng serta disaksikan Pengerusi The Medici Watermark Sdn. Bhd (TMW) Victor Ng dan Pengarah TMW, Aikihiro Yamamoto.

Md Nazri berkata, kerjasama strategik antara universiti dan industri yang melibatkan Malaysia dan Singapura ini berupaya meningkatkan kepakaran staf dan memberi manfaat buat pelajar dan alumni.

“Kerjasama ini turut memperluaskan dimensi usahawan dan syarikat pemula (startup) kerana ia memudahkan urusan berkaitan sewaan premis.

“Dan membolehkan mereka lebih berfokus kepada pembangunan produk atau perkhidmatan yang lebih menguntungkan.

“Antara lain ia membuka ruang dan peluang buat staf UTeM dalam perundingan dan pemindahan ilmu serta teknologi secara langsung kepada komuniti terutama para usahawan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

MD Nazri (kanan) dan Isma Addi (kiri).

Sementara itu, Isma Addi berkata jalinan itu menjadi langkah awal dan bersepadu mengangkat CREATE UTeM ke tahap global selain terus dinamik dalam menjayakan hubungan kerjasama bersama pihak luar.

“Platform ini turut merangsang kerjasama bersepadu antara TMW dan CREATE untuk menganjurkan program bertaraf antarabangsa berkaitan teknousahawanan dan perniagaan yang memberi manfaat kepada para usahawan, warga UTeM, para pelajar dan alumni,” katanya.

Sementara itu pada masa yang sama, June Teng berpandangan, kerjasama ini semestinya akan menyerlahkan impak ruang kerja bersama antara usahawan dengan UTeM melalui projek Hatten yang dikenali sebagai PRIME 53.

“PRIME 53 berfungsi sebagai platform buat perusahaan Singapura dan Malaysia untuk berkolaborasi serta mendorong kepada skala ekonomi yang lebih besar dan mencipta idea perniagaan baru,” katanya.

TMW merupakan anak syarikat Hatten Land Limited yang berfokus kepada penilaian dan pencarian peluang baru dengan mengabungkan hartanah dengan ekonomi digital dan bersesuaian dengan UTeM yang terkenal dengan bidang teknikal dan teknousahawanan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

660
Kongsi :
Previous post Cadangan PKR tambah empat kerusi dibincangkan dalam PH
Next post TYT sampai hadiah Pertandingan Pidato Rukun Negara Peringkat Kebangsaan
Ubah saiz-+=