Sorting by

×

KM jamin kepentingan rakyat

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

AYER KEROH 21 Okt – Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali memberi jaminan kepentingan rakyat di negeri ini tidak akan diganggu gugat susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada 4 Oktober lalu.

Menurutnya, pentadbiran kerajaan negeri yang diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) tetap berjalan seperti biasa dan melaksanakan dasar serta polisi yang telah diputuskan atau dibuat sebelum ini.

“Mana-mana perkara atau masalah yang berkaitan dengan rakyat masih boleh diadukan kepada jabatan dan agensi kerajaan negeri dan Persekutuan yang berkaitan.

“Begitu juga dengan Ketua Menteri dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, kami masih lagi bekerja dan berkhidmat walaupun dalam kapasiti yang terhad.

“Yang tidak ada lagi hanya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) selepas terbubarnya Dewan Undangan Negeri,” katanya bersiaran dalam segmen ‘Bicara Ketua Menteri’ bersama MelakaFM hari ini.

Ketua Menteri turut meminta maaf kepada rakyat di negeri ini susulan pembubaran DUN Melaka memandangkan tindakan itu diambil sewaktu rakyat masih bergelut dengan pandemik COVID-19.

“Ia akibat tindakan sesetengah ahli politikn yang masih lagi mahu terus bermain politik meskipun di waktu dan ketika ini, rakyat masih lagi bergelut untuk meneruskan kelangsungan hidup pasca pandemik.

“Maka saya tidak mempunyai pilihan melainkan terpaksa menasihatkan pembubaran DUN dan menyerahkan semula mandat kepada rakyat sebagai jalan penyelesaian terbaik,” ujarnya.

Menurut Sulaiman, tindakan membubarkan DUN tidak dibuat sewenang-wenangnya apatah lagi ketika rakyat Melaka masih bergelut untuk meneruskan kehidupan ekoran pandemik COVID-19.

“Kita tidak suka-suka untuk membubarkan DUN ini, lebih-lebih lagi ketika rakyat sedang bergelut dengan keadaan sekarang, ada yang hilang pekerjaan, masih lagi tercari-cari kerja baru.

“Mereka yang berniaga pula, baru nak memulakan kembali perniagaan yang terpaksa ditutup sebelum ini, begitu juga dengan anak-anak yang bersekolah, mereka baru saja nak memulakan sesi persekolahan bersemuka.

“Biarlah rakyat yang akan membuat keputusan nanti tentang kerajaan yang bagaimana yang mereka mahukan untuk memimpin mereka dalam tempoh lima tahun akan datang,” kata beliau.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

869
Kongsi :
Previous post 861 mangsa banjir dipindahkan ke PPS – APM
Next post 91.32 peratus populasi dewasa di Melaka lengkap divaksin
Ubah saiz-+=