PRN Melaka: UMNO angkat manifesto anak muda
AYER KEROH 20 Okt – Suara anak muda bakal menjadi antara manifesto yang dibawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November depan, kata Naib Ketua Pemuda UMNO Melaka, Dr Muhamad Akmal Salleh.
Beliau berkata, jika sebelum ini suara anak muda tidak begitu diketengahkan, namun di bawah kepimpinan Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri), perkara itu bakal menjadi antara agenda utama parti.
Justeru, katanya, PRN kali ini dianggap cukup istimewa memandangkan segenap aspek membabitkan golongan belia dan anak muda di negeri ini akan diberi perhatian.
“Di bawah kepimpinan Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, dia mahu memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada orang muda dan kita mewakili Pemuda UMNO diminta menyediakan beberapa cadangan manifesto untuk dibawa dalam PRN nanti.
“Istimewanya manifesto ini kerana ia datang terus daripada cadangan orang muda, rakyat bawahan dan pelbagai pihak lain.
“Setiap cadangan itu akan kita tapis dan yang mana dirasakan begitu bermakna akan kita bawa kepada kepimpinan tertinggi,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Jasin berkata, antara cadangan yang akan dibawa oleh Pemuda UMNO Melaka ialah mengenai Akta Lompat Parti.
Katanya, perkara itu penting memandangkan rakyat kini semakin meluat dengan situasi wakil rakyat tertentu yang sesuka hati melompat parti.
“Kita (Pemuda UMNO) mahu menghasilkan satu kerajaan yang lebih konklusif dan tenteram, sebab itulah kita mendesak Akta Lompat Parti ditubuhkan.
“Sekiranya UMNO menang dan boleh menubuhkan kerajaan, inilah perkara pertama yang akan kita bawa semasa Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) nanti,” katanya lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.