Sorting by

×

Pemandu maut, tiga cedera selepas kereta dinaiki terlanggar gajah

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

KLUANG 17 Okt – Seorang lelaki maut manakala tiga ahli keluarganya cedera apabila kereta Honda City dinaiki mereka terbabas selepas terlanggar seekor gajah di KM70, Jalan Kota Tinggi-Mersing, dekat sini, malam tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Renggam Pegawai Bomba Kanan I Abd Rahim Razali berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian kira-kira 9.59 malam dan satu jentera bersama lapan anggota digegaskan ke lokasi bagi operasi menyelamat.

“Anggota bomba bertindak mengeluarkan pemandu kereta iaitu Ismail Daud, 37, yang meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Anak lelaki Ismail yang berusia lima tahun, bapa mentuanya yang berusia 65 tahun serta biras lelaki berusia 30an pula cedera dan dibawa ke hospital berdekatan untuk rawatan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abd Rahim berkata mayat Ismail diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi itu ditamatkan kira-kira 10.44 malam.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang Deputi Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani yang mengesahkan kejadian berkata, kemalangan berlaku apabila kereta dinaiki kesemua mangsa dari arah Felda Bukit Tongkat menuju bandar Kluang telah terlanggar seekor gajah yang sedang melintas.

Beliau kejadian menyebabkan gajah itu kemudiannya menghempap kenderaan tersebut.

“Pemandu kereta yang terhimpit mengalami kecederaan di bahagian kepala dan leher disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala tiga penumpangnya cedera dan dirawat di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom, di sini,” katanya.

Menurut Abdul Razak, kemalangan itu sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

422
Kongsi :
Previous post PM minta warga pendidik segera dapatkan vaksin COVID-19
Next post (Kemas kini) Keputusan pindahkan guru enggan vaksin kekal – Radzi
Ubah saiz-+=