Sorting by

×

Pandemik belum berakhir walaupun sudah Fasa 4 – KM

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

TANJUNG MINYAK 16 Okt. – Peralihan Melaka kepada Fasa 4 dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) bukannya menandakan pandemik COVID-19 akan berakhir.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, masyarakat sebaliknya perlu bersedia untuk hidup bersama dengan wabak itu dengan menitikberatkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Saya bersyukur apabila Melaka dah pun masuk ke fasa keempat dan ini bermakna semua sektor ekonomi telah pun berjalan seperti biasa, kita boleh mula menggerakkan balik aktiviti kita yang sudah lama terhenti.

“Walau bagaimanapun saya mohon, ini bukan bermakna COVID-19 sudah berakhir. Tidak. Mahu tak mahu kita mesti hidup bersama pandemik ini.

“Seperti mana dahulu, saya menyebut seperti penyakit denggi hingga boleh membawa kematian tapi penyakit denggi ini tak hilang dan akhirnya dia bersama dengan kita.

“Kalau ini boleh berlaku, kehidupan akan datang akan berbeza. Kita perlu ikut SOP seperti pematuhan pemakaian pelitup muka, sanitasi dan menjalani norma norma baharu dalam penjagaan keaihatan kendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Melaka Hari Ini selepas menyantuni penduduk dalam Program Kunjungan Kasih di Taman Tanjung Minyak Indah, sebentar tadi.

Pada masa sama, Sulaiman turut menasihatkan kepada pemain industri dan pelancong yang berkunjung ke negeri ini bagi mematuhi SOP sebagai garis panduan utama bagi mengekang penularan COVID-19.

Malah, pihaknya turut menyarakan kesemua pasukan keselamatan di negeri ini perlu memainkan peranan penting bagi memastikan masyarakat sentiasa mematuhi SOP ditetapkan.

“Orang Melaka terutama pengusaha-pengusaha chalet tolong bagi kerjasama dan bagitahu ini negeri kita, kita mesti jaga negeri kita dan kita akan cuba sebaik mungkin supaya tiada lagi jangkitan COVID-19 berlaku seperti sebelum ini.

“Sektor pelancongan harus memainkan peranan kerana difahamkan minggu ini lebih kurang 45,000 hingga 180,000 pengunjung akan datang ke Melaka

“Jadi pihak keselamatan termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT), polis serta pelbagai lagi perlu tetap terus memainkan peranan untuk memastikan pengunjung matuhi SOP,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

446
Kongsi :
Previous post Masjid Selat tidak akan dialihkan – Sulaiman
Next post Melaka River Cruise terima 10,000 pengunjung dalam 14 hari
Ubah saiz-+=