Melaka negeri pertama MOVAK 2.0
TELOK MAS 13 Okt – Melaka menjadi negeri pertama pelaksanaan Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) 2.0 di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT)bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun.
Timbalan Ketua Setiausaha (Perumahan dan Kesejahteraan Komuniti) KPKT, Datuk Azhar Ahmad berkata, menerusi program berkenaan pihaknya menyediakan 12 buah bas bagi keseluruhan 10 lokasi di Melaka, iaitu enam di daerah Alor Gajah dan empat lagi di Melaka Tengah.
Katanya, seramai 200 kakitangan termasuk sukarelawan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) dan kakitangan anak syarikat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), ProtecHealth Corporation Sdn Bhd terlibat dalam program terbabit.
“Untuk MOVAK 2.0 ini, fokus kita kepada pelajar berusia 12 hingga 17 tahun, jadi Melaka adalah negeri pertama pelaksanaannya,” katanya ketika ditemui MHI di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Temu, di sini hari ini.
Hadir sama, Pengarah Pendidikan Negeri, Dr. Mohd Azam Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Nazri Md Shariff.
Mengulas lanjut, Azhar berkata program sama akan diperluaskan ke negeri lain bagi membantu kerajaan mempercepatkan program imunisasi dalam kalangan remaja.
“Kita akan ‘engage‘ dengan negeri lain untuk melaksanakan program sama kerana kita mahu membantu bagi meringankan beban kerajaan menangani COVID-19.
“Jadi kita sedang bekerjasama dengan negeri lain untuk sama-sama menyambut inisiatif kita ini demi mempercepatkan lagi program vaksinasi dalam kalangan remaja,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan KPKT merancang untuk melaksanakan Program MOVAK 2.0 susulan kejayaan MOVAK 1.0 yang memperuntukkan sebanyak 84,868 dos suntikan bermula 23 Ogos lalu.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib dilaporkan berkata, KPKT membelanjakan RM3.4 juta bagi pelaksanaan MOVAK 1.0 yang memfokuskan pemberian vaksin golongan sasar.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.