Md Rawi tidak pertahan DUN Tanjung Bidara

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

TANJUNG BIDARA 11 Okt. – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Datuk Wira Md Rawi Mahmud menegaskan beliau tidak mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.

Menurutnya, selepas dua penggal menggalas tugas wakil rakyat, tiba masanya beliau mengundur diri sekali gus memberi peluang kepada muka baru dicalonkan.

“Usia pun sudah hampir menjangkau 70 tahun, biarlah saya membantu parti dari belakang tetapi saya berjanji akan sentiasa bersedia memberikan khidmat nasihat kepada pengganti saya jika diperlukan.

“Anggota komuniti di sini mesra dengan UMNO dan BN (Barisan Nasional) dan seharusnya kepercayaan mereka kita balas dengan perkhidmatan yang terbaik dan menikmati pembangunan negara,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau turut berikrar membantu sesiapa sahaja calon dipilih pucuk pimpinan BN dalam mempertahankan kerusi itu daripada dirampas Pakatan Harapan (PH).

Md Rawi adalah bekas guru dan ahli jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian Masjid Tanah ketika pertama kali dicalonkan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) bagi menggantikan bekas ADUN Datuk Kapten (B) Abdul Karim Sulaiman yang mewakili kerusi itu selama dua penggal.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) yakin kerusi berkenaan mampu dipertahankan dalam PRN jika diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Oktober lalu.

“Insya-Allah kami akan pertahankan kerusi ini walau terpaksa menempuh ribut dan taufan sekali pun kerana kepentingan pengundi dan anggota komuniti tidak harus diserahkan kepada PH,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1074
Kongsi :
Previous post Anti-vaksin jangan ‘cuba nasib’ masuk Melaka
Next post Kedatangan pelancong ke Melaka dijangka pulih 75 peratus – Exco
Ubah saiz-+=