Sulaiman perjelas fakta sebenar M-WEZ yang cuba dikelirukan
AYER KEROH 9 Okt. – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali hari ini tampil memperjelaskan fakta sebenar mengenai Zon Ekonomi Persisiran Pantai Melaka atau Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ).
Ia berikutan terdapat usaha pihak tertentu yang cuba mengelirukan orang ramai mengenai pembangunan koridor ekonomi berimpak tinggi itu.
Sulaiman menjelaskan, Perbadanan M-WEZ yang ditubuhkan sebelum ini bukanlah agensi yang menjadi pemaju utama bagi pembangunan bersepadu M-WEZ.
Sebaliknya, perbadanan itu hanya bertindak sebagai penyelaras pembangunan di kawasan tambakan laut.
“Saya juga nak maklumkan bahawa Kerajaan Negeri Melaka tidak menyediakan sebarang peruntukan bagi pembangunan M-WEZ.
“Sebaliknya, projek M-WEZ yang berimpak tinggi itu dilaksanakan sepenuhnya melalui Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, menerusi perancangan pembangunan bersepadu jangka panjang itu kelak, ia diyakini bakal memberi kemakmuran berganda bukan sahaja kepada ekonomi negeri, bahkan kesejahteraan hidup rakyat Melaka.
Untuk rekod, Rang undang-undang penubuhan Perbadanan Zon Ekonomi Persisiran Pantai Melaka (M-WEZ) telah diluluskan dalam Persidangan Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-14 pada 22 September lalu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.