Tiga kanak-kanak hilang ditemukan lemas
SETIU 9 Okt – Tiga kanak-kanak yang dilaporkan hilang ketika sedang mencari kepah bersama keluarga di muara sungai Kampung Mangkuk di sini petang semalam, ditemukan lemas awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Setiu DSP Afandi Hussin berkata mayat pertama, Nur Amni Insyirah Saiful Tarmizi, 9, ditemukan pasukan penyelamat pada 1.08 pagi pada jarak 800 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang.
“Mayat kedua yang ditemukan pada 1.47 pagi ialah adik Nur Amni Insyirah, Muhammad Aryan Faheem berusia 7 tahun, pada jarak 1.5 kilometer dari lokasi mayat pertama.
“Pada pagi ini, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan pada 7.45 pagi dan mayat terakhir yang juga sepupu mereka iaitu Nurulhasha Humaira Che Mohd Humaizi, 11, ditemukan pada 8.15 pagi pada jarak lima meter dari lokasi terakhir mereka dilaporkan hilang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Dalam kejadian 5.30 petang semalam, tiga individu dewasa dan enam kanak-kanak dilaporkan berada di lokasi tersebut untuk berkelah dan mencari kepah.
Bagaimanapun, berlaku air pasang dengan cepat menyebabkan enam kanak-kanak itu hanyut namun tiga daripada mereka sempat diselamatkan.
Afandi berkata dengan penemuan tiga mayat tersebut, operasi SAR yang disertai 107 anggota membabitkan bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan penduduk kampung dihentikan pada 8.40 pagi.
“Kesemua mayat dihantar ke Hospital Setiu untuk proses bedah siasat,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dan memahami faktor pasang surut air di muara sungai untuk mengelakkan kejadian seumpama itu berulang lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.