Sorting by

×

Zoo Melaka catat 10 peratus tambahan haiwan

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 9 Okt – Jumlah kelahiran dan haiwan bunting di Zoo Melaka merekodkan 10 peratus peningkatan sepanjang penutupan operasi ekoran pandemik COVID-19.

Pengarah Zoo Melaka, Zanariah Khamis berkata, terdapat lebih lapan spesies haiwan yang melahirkan anak sepanjang tempoh 10 bulan operasi ditutup.

“Antara haiwan yang baru melahirkan anak ialah ungka tangan putih (white handed gibbon) yang melahirkan anak kembar pertama kali direkodkan di Asia selain monyet Capuchin dari Afrika Selatan turut melahirkan seekor anak, bulan lalu.

“Kambing gurun juga melahirkan dua ekor anak iaitu pada PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) pertama pada Mac 2020 dan seekor lagi ketika PKP tahun ini.

SPESIES Banting (lembu hutan) antara yang paling banyak melahirkan anak sepanjang tempoh operasi Zoo Melaka ditutup.

“Selain itu, Zoo Melaka sedang menanti kelahiran anak pertama singa putih dari Afrika Selatan yang dijangka dilahirkan pada bila-bila masa pada hujung bulan ini.

“Antara binatang lain yang melahirkan anak adalah burung merak, burung kakak tua, kura-kura spesies Sulcata dan lembu hutan (Banting).

SPESIES burung kakak tua Macaws antara yang banyak menghasilkan telur dan sedang sarat bunting.

“Sementara yang sedang sarat bunting ketika ini ialah rusa spesies Lechwe dan rusa bintik, dianggarkan antara dua atau tiga ekor dijangka melahirkan anak tidak lama lagi ,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Zanariah berkata antara faktor peningkatan haiwan di zoo itu bunting dan melahirkan anak berkemungkinan disebabkan tiada kedatangan pengunjung ke zoo membolehkan haiwan-haiwan itu mengawan tanpa diganggu.

Untuk info, sebanyak 673 hidupan liar sehingga kini terdiri daripada 121 spesies haiwan yang terdapat di Zoo Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1632
Kongsi :
Previous post IMAN parti pertama umum mungkin letak calon PRN Melaka
Next post BERSATU Melaka hormati keputusan UMNO
Ubah saiz-+=