Molnupiravir percuma kepada pesakit bergejala, kategori tiga ke atas- Khairy
Beliau berkata meskipun peratusan lengkap vaksinasi populasi dewasa sudah menghampiri 90 peratus, Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati jangkitan virus itu masih berlaku.
“Kita perlukan pil rawatan ini di samping kita buat program vaksinasi. Kita mendapati dengan pil ini kita beri pilihan kepada doktor untuk beri pil ini kepada mereka yang tidak divaksin dan sudah divaksin. Ia diberi secara percuma.
“Ujian klinikal Merck Sharp & Dohme ini menunjukkan keberkesanan untuk merawat kategori tiga, empat dan lima terutamanya mereka yang bergejala empat ke lima hari,” katanya kepada pemberita selepas melawat Hospital Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Kerajaan melalui KKM hari ini dilaporkan menandatangani surat akujanji (Letter of Undertaking) pembelian ubat antiviral Molnupiravir bagi menambah pilihan rawatan inovatif baharu dalam melawan COVID-19.
Menerusi perjanjian bersama Merck Sharp & Dohme itu, kerajaan bersetuju untuk membuat perolehan sebanyak 150,000 pakej rawatan lengkap bagi merawat pesakit COVID-19.
Selain itu, ia turut berkesan ke atas varian-varian virus COVID-19 yang lebih ganas seperti Gamma, Delta dan Mu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.