Sorting by

×

Mohamad Ali cabar Idris bertanding di kerusi yang sama

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

KLEBANG 7 Okt – “Saya cabar beliau hendak bertanding di mana? Saya akan ikut beliau bertanding di mana untuk menentukan sejauh mana rakyat memilih kepimpinan dalam menentukan siapa benar-benar ikhlas dalam perjuangan.”

Itu kata Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Senator Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad mencabar bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan ditentukan kelak.

Beliau mendakwa, Idris dalam beberapa siri sidang media sebelum ini mengatakan pelbagai cerita yang sengaja diputar belitkan untuk mengelirukan rakyat.

“Banyak benda cuba diputar belitkan Datuk (Seri Utama) Idris Haron, saya fikir benda ini tak payahlah. Kalau betul gentleman, dalam PRN kita bertanding,

“Saya nyatakan ini, saya cabar beliau supaya tidak perlu hendak ceritakan keaiban mana-mana pihak sekalipun kerana cerita kita hari ini negeri kita sudah diisytiharkan untuk pembubaran DUN (Dewan Undangan Negeri) maknanya kita akan hadapi PRN,” katanya.

Mohamad Ali turut menegaskan akar umbi UMNO menolak dua wakil rakyat yang secara terang-terangan bersekongkol dengan pihak pembangkang untuk mengaburi mata rakyat.

“Dalam PRN nanti, terangkan manifesto beliau untuk dibawa dengan rakan karib beliau daripada parti DAP, yang kita tahu ketika saya bukan kerajaan, parti itu cuba menggugat kekuatan orang Melayu dan Umat Islam.

“Silakan Datuk (Seri) Idris Haron, Datuk Nor Azman Hassan, jika kamu nak bersekongkol dengan parti cauvanis, jika kamu nak mengkhianati UMNO silakan.

“Kita diperingkat akar umbi di cawangan UMNO Kampung Merah Jaya sekalipun, saya yakin tiada ahli UMNO ingin bersama beliau, begitu juga Kampung Klebang Kecil masih setia dengan UMNO dan biarkan dia bersama perjuangan dia dengan parti cauvanis,” katanya.

Mohd Ali dalam pada itu turut menyatakan kesediaannya untuk menerima tawaran bekas ADUN Sungai Udang itu untuk berhujah secara berdepan.

“Insya-Allah kali ini UMNO akan lebih kuat, UMNO ada keyakinan menang dua pertiga dalam PRN ini.

“Kita yakin rakyat Melaka bersama kita, kerana dalam meletakkan kepimpinan, musyawarah kita perlu lakukan bukan dengan mensabotaj parti yang telah menjayakan kita menjadi wakil rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

680
Kongsi :
Previous post Keabsahan surat bubar DUN tidak perlu dipertikai – Mohamad Ali
Next post Zainal impi bawa Melaka ke final
Ubah saiz-+=