Sorting by

×

Penunggang ‘Y-suku’ maut nahas babit lima kenderaan

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

GADEK 7 Okt. – Seorang lelaki maut manakala lima lagi cedera ringan dalam nahas membabitkan lima kenderaan di Jalan Dalong, Jelatang-Gadek, kira-kira jam 9.30 malam tadi.

Mangsa yang maut, Muhammad Nor Abdullah, 20, seorang pemastautin tetap meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, siasatan mendapati kemalangan berlaku selepas mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Y15 dari arah Alor Gajah menghala ke Pulau Sebang cuba memotong sebuah lori.

ARSHAD. Foto fail.

Katanya, bagaimanapun sewaktu hendak memotong penunggang itu dilanggar kereta Nissan dari arah bertentangan.

Menurutnya, impak perlanggaran itu membuatkan mangsa tercampak sebelum dilanggar dua lagi kereta lain, manakala kereta Nissan yang dinaiki tiga beranak turut melanggar sebuah lagi Proton Wira di lokasi kejadian.

MOTOSIKAL ditunggangi mangsa.- Foto- Ihsan Polis Alor Gajah.

“Kemalangan itu berlaku di jalan lurus satu lorong dua hala dan keadaan cuaca serta lalu-lintas baik pada ketika itu.

“Terdapat lima pemandu serta penumpang kereta cedera ringan dalam kejadian itu, manakala penunggang motosikal disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat,” katanya.

Arsyad berkata, kesemua kenderaan terlibat telah ditahan untuk dibawa bagi pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

Katanya, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2568
Kongsi :
Previous post Hatrik Ali Olwan bantu Jordan ‘ratah’ Harimau Malaya
Next post Peranan perkhidmatan awam tetap diteruskan tanpa pengaruh politik- SUK
Ubah saiz-+=