Sorting by

×

Tindakan empat adun pentingkan diri, bukan berbuat untuk rakyat

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

MELAKA 5 Okt. – Tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali disifatkan sebagai mementingkan diri dan menggunakan kepentingan rakyat sebagai alasan semata-mata.

Pengerusi Sekretariat Professional Wanita UMNO Melaka, Datuk Haryaty Hamdzah berkata, Wanita UMNO Melaka merasa sedih dan marah dengan tindakan keempat-empat ADUN terbabit.

“Saya merasa sedih dan geram dengan politik yang berlaku dalam negeri Melaka.

“Saya sedih dengan nasib rakyat yang baru mula mencari makan seperti pembawa beca – peniaga kecil, peniaga besar…sedih dengan nasib JPKK yang sedang teruja berkhidmat kepada rakyat tetapi tiba-tiba terpaksa berhenti.

“Sedih dengan wanita yang sedang bergelut kesusahan ditinggalkan, diancam jenayah, keretakan rumah tangga yang mencari tempat perlindungan kepada sebuah kerajaan yang kukuh dan mantap,” katanya melalui kenyataan yang disiarkan pada laman Facebook malam ini.

Beliau yang juga Ketua Wanita Kota Melaka berkata, empat ADUN berkenaan mengemukakan sebab berbuat demikian demi rakyat tetapi ia sebenarnya alasan semata-mata.

“Realitinya, empat Yang Berhormat tampil dengan alasan ‘demi rakyat’ adalah Yang Berhormat yang pentingkan diri sendiri bukan perjuangan membakar diri’.

“Mereka mengambil kesempatan dan mencari keuntungan diri dengan jawatan yang disandang dalam ketidakstabilan kerajaan.

“Walaupun Pilihan Raya Negeri akan berlaku seperti pembubaran DUN diumumkan Datuk Seri Ab Rauf Yusoh- Pelaksanaan Akta Anti Lompat Parti & Pemecatan Ahli Parlimen atau DUN wajar disegerakan pelaksanaannya,” katanya.

Beliau turut mengesa pengundi dan jentera Wanita UMNO negeri agar menolak keempat-empat ADUN berkenaan sekiranya mereka bertanding pada pilihan raya negeri akan datang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1241
Kongsi :
Previous post DAP tidak setuju PRN Melaka
Next post Keputusan PRN Melaka dibuat secara unilateral
Ubah saiz-+=