PN sedia berunding dengan UMNO

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

AYER KEROH 5 Okt – Perikatan Nasional (PN) sedia berunding dengan UMNO bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan ditentukan dalam masa terdekat.

Pengerusi PN Melaka, Datuk Wira Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, pihaknya bersikap terbuka untuk menerima sebarang rundingan bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru dalam PRN kelak.

“Kita terbuka sekiranya UMNO mahu berunding dengan PN, saya tidak boleh membuat keputusan mewakili UMNO, namun di peringkat PN negeri kita sedia berunding dan bersetuju bagaimanapun ia bergantung kepada pendirian UMNO bukan saya yang tentukan.

“Sudah tentu, kita tidak akan bertembung sesama sendiri sama ada antara Bersatu atau PAS kerana hari ini kita telah menunjukkan solidariti dan perpaduan dalam PN,” katanya pada sidang media PN di sini hari ini.

Hadir sama Pesuruhjaya PAS Melaka, Datuk Kamarudin Sidek dan Pengerusi Gerakan Melaka, Datuk Seri Micheal Peng Lam.

Mengulas lanjut, Mohd Rafiq yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka berkata, mengenai jumlah kedudukan kerusi PN dalam PRN itu akan diputuskan selepas rundingan bersama UMNO dijalankan.

“Saya sudah jelaskan, apabila kita terbuka untuk rundngan baru kita akan cerita mengenai jumlah kerusi dan saya tidak akan memperincikan perkara itu buat masa ini,” katanya.

Mengulas mengenai hubungan PN Melaka dengan UMNO pada ketika ini katanya, sokongan PN terhadap kepimpinan kerajaan negeri hari ini tidak pernah berubah.

“Saya telah menyatakan pendirian kita sebelum ini menyokong kepimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Itu amat jelas maksudnya ketika dalam tempoh Sulaiman menjadi Ketua Menteri, kita tidak ada krisis besar dan jika ada perselisihan pendapat itu biasa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

476
Kongsi :
Previous post Keahlian Noor Effandi gugur automatik dalam Bersatu
Next post Keputusan adakan PRN tidak relevan ketika pandemik
Ubah saiz-+=