Keputusan adakan PRN tidak relevan ketika pandemik

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

AYER KEROH 5 Okt. – Cadangan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk melaksanakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dianggap tindakan tidak relevan dan tergesa-gesa.

Hal itu disuarakan Ketua Penerangan PKR negeri, Muhammad Asri Ibrahim dalam satu kenyataan di sini,  sebelum Speaker DUN Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengumumkan pembubaran DUN negeri petang tadi.

Beliau berkata, perubahan tampuk kepimpinan kerajaan negeri bukan sahaja berlaku di negeri ini, malah sebelum ini turut melanda beberapa negeri lain seperti Sabah dan Perak.

“Namun cadangan penyelesaiannya dilihat tidak konsisten dan terlalu gopoh daripada beberapa pimpinan.

“Kenyataan bersifat dangkal daripada Ahmad Zahid yang menyatakan perlunya diadakan PRN untuk menyelesaikan kemelut politik di negeri ini dilihat seperti kebudak-budakan dan bersifat mementingkan diri tanpa memikirkan implikasi yang akan berlaku kepada rakyat,” katanya.

Muhammad Asri turut mempersoalkan cadangan Ahmad Zahid sebelum ini tidak diaplikasi pada pertukaran kerajaan negeri di Perak.

“Adakah disebabkan Menteri Besar Perak yang dilantik (pada ketika itu) adalah proksi Presiden UMNO sehingga berlaku cadangan yang tidak konsisten?

“Persoalan ini harus dijawab oleh Presiden UMNO kerana bahana PRN akan membawa kepada kesan yang buruk dalam tempoh pandemik COVID-19 seperti mana yang berlaku di PRN Sabah.

“Memperjudikan kesihatan dan keselamatan rakyat demi kepentingan politik adalah sehina-hina bentuk percaturan politik yang perlu ditolak oleh rakyat,” katanya.

Beliau yakin cadangan Ahmad Zahid itu tidak dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika negara sedang dalam proses pemulihan daripada pandemik.

Semalam, media melaporkan Ahmad Zahid mencadangkan supaya Melaka melaksanakan PRN bagi memberi semula mandat rakyat untuk memilih kerajaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

454
Kongsi :
Previous post PN sedia berunding dengan UMNO
Next post ADUN khianat kerajaan pimpinan BN akan dipecat – Ahmad Zahid
Ubah saiz-+=